Wednesday, February 10, 2010

Kepada fanatik UMNO pula....

Terdahulu saya ada menulis tentang mereka yang fanatik kepada partai PAS. Izinkanlah saya berlaku adil dengan menulis kepada penyokong-penyokong fanatik partai UMNO pula.

UMNO adalah sebuah parti nasionalis kebangsaan. Parti asobiyyyah dalam bahasa arabnya. Parti kebangsaan. Mana-mana gerakan yang memperjuangkan bangsa, bagi saya, adalah perjuangan yang kolot. Perjuangan yang tak "up to date". Zaman sekarang, di mana sempadan negara sudah tidak lagi relevan bagi peniaga-peniaga, adakah kita masih lagi hendak percaya kepada perjuangan meninggikan suatu bangsa ke atas bangsa lain. Ini bukanlah keadilan. Di mana adilnya jikalau kita mahu bangsa kita lebih tinggi daripada bangsa kawan kita? Perjuangan kebangsaan itu sendiri tidak berada di atas landasan keadilan sejak dari awal lagi.

Sesetengah sahabat saya berhujah bangsa melayu perlu kuat, jika tidak, bangsa cina akan menguasai politik, mereka sudahpun menguasai ekonomi. Nanti bila politik pun sudah mereka kuasai, bangsa melayu akan menjadi pelarian di negara sendiri. Kita akan ditindas, peluang kita akan disekat. Susah juga sebenarnya nak menjawab hujah sebegini, kerana saya pun sebahagian daripada "kita" yang disebutkan itu. Soalan saya kepada saudara saya itu, mengapa ye kita begitu prejudis kepada bangsa yang bukan sebangsa dengan kita? Ketahuilah, jikalau sekiranya bangsa cina menganut Islam, alangkah beruntungnya Islam, seumpama ketika Sayyidina Omar memeluk Islam dulu. Betapa kuatnya Islam jika bangsa cina memeluk Islam. Mereka adalah saudara sedarah sedaging dengan kita, bangsa melayu. Cuma nasib mereka tidak baik dilahirkan di dalam agama selain dari Islam. Setiap kali kita berbicara politik dengan penyokong-penyokong UMNO, selalu sahaja terkeluar ungkapan-ungkapan seperti "kena jaga bangsa kita", "bangsa kita perlu bersatu", "bangsa cina hendak menakluk kita", "bangsa kita perlu memerintah negara ini", "nanti bangsa cina jadi PM", "bangsa kita nak makan pun tak boleh". Kenapa ye selalu sangat disebut bangsa kita dan bangsa dia? Ada apa dengan bangsa?? Ketahuilah wahai saudaraku bahawasanya yang kamu sebut bangsa kita dan bangsa mereka itu sebenarnya adalah saudara sedarah sedaging dengan kamu dan isu yang kau anggap begitu fokal dan penting itu (bangsa) sebenarnya tidak ada perkiraan sedikit pun pada Tuhan. Apabila saya bercakap begini, penyokong-penyokong UMNO pula menempelak saya dengan mengatakan saya terlalu beretorik. Pulak! Jadinya yang saya boleh katakan hanyalah memujuk, percayalah wahai saudara-saudaraku, perjuangan bangsa adalah perjuangan yang tidak benar dan batil. Perjuangan yang benar hanyalah perjuangan yang berlandaskan agama.

Apabila berbicara tentang perjuangan bangsa ini, teringat pula saya dengan bangsa Yahudi. Yahudi, perjuangannya adalah perjuangan bangsa. Bangsa Yahudi dilaknat tuhan, adakah kita mahu meniru perjuangan bangsa Yahudi yang berlandaskan perkauman? Dan saya juga teringat kisah yang pertama sekali dalam kisah manusia di mana Iblis tidak mahu patuh perintah Tuhan sujud kepada Nabi Adam. Kerana apa? Kerana kata Iblis, aku adalah daripada bangsa api, dan Adam adalah daripada bangsa tanah. Bangsa aku adalah lebih mulia daripada bangsa Adam, kenapa aku perlu sujud kepada Adam? Adakah kita mahu meniru kepercayaan Iblis ini?

Saudara nak tahu tak apa yang tidak kena dengan penyokong-penyokong parti nasionalis kebangsaan ini? Mereka ingatkan perjuangan mereka adalah perjuangan yang benar kerana mereka juga memperjuangankan agama. Berjuang untuk bangsa, agama, dan negara, begitulah kata mereka. Emm....yang menjadi masalah ialah bukan mereka, tetapi pemahaman mereka terhadap Islam. Mereka tidak memahami, tidak faqih, tidak menghayati apa itu Islam? mereka tidak tahu dan tidak faham Apa itu Agama Saya, Islam? Persoalannya bukan mereka, tetapi persoalannya sistem pendidikan negara kita yang melahirkan orang-orang yang tidak faham agama. Lalu mereka ini membesar dan menjadi orang-orang yang menyangka bahawa perjuangan bangsa itu selari dengan agama kerana perjuangan kebangsaan juga memperjuangkan agama. Lalu mereka menentang dengan keras gerakan-gerakan Islam. Saya pun tidak tahu besar mana dosa orang yang mereka sistem pendidikan kita yang melahirkan golongan yang buta agama. Tapi tentunya dosa mereka amat besar kerana telah beratus-ratus ribu manusia yang dilahirkan oleh sistem pendidikan kita ini.

Golongan sekular ini memahami agama adalah suatu amalan-amalan ritual dalam kehidupan. Maknanya Islam adalah sama dengan agama-agama lain yang juga mempunyai ritualnya sendiri. Agama bagi UMNO adalah solat, puasa, zakat, haji, dakwah, dan lain-lain amalan. Sebab itu ditubuhkan Pusat Pungutan Zakat, Tabung Haji, Pusat Islam, Perkim, dan bermacam-macam agensi lagi. Bagi mereka, Islam terjaga kerana umat Islam di negara kita dapat beribadat dengan senang, jika hendak bersolat enam kali sehari pun boleh, tiada halangan. Bagi mereka, berikan hak Kaisar kepada Kaisar dan hak agama kepada agama. Bunyinya sama je macam gerakan orientalis yang sangat memusuhi Islam.

Bagi penyokong-penyokong UMNO, biarlah golongan sekular yang memerintah, selagi mereka muslim dan selagi agama Islam terbela. Orang-orang Islam hendak mengamalkan agama, tiada sebarang halangan. Itu sudah cukup bagi mereka. Nak pergi haji, boleh. Nak solat berjemaah, boleh. Nak tunai zakat, boleh. Nak bahagi harta pusaka, boleh. Nak puasa di bulan Ramadhan, boleh. Jadi apa lagi yang korang semua orang PAS nak? Apa lagi yang tak kena? Tak cukup lagi ke?

Bagi pendokong gerakan Islam pula, mereka memahami agama dengan faqih. memahami agama seperti yang Nabi mahu kita fahami. Mereka ini memahami agama secara syumul, mencakupi seluruh ruang lingkup hidup kita sehari-hari. Dan mereka ini memahami Islam itu, sifatnya memerintah, bukannya diperintah. Sifatnya membuat peraturan, bukannya mengikut peraturan. Sifatnya menjadi ketua, bukannya pengikut. Golongan ini memahami agama bukannya sebagai amalan-amalan ritual sahaja, malah merangkumi semua perkara, termasuklah sistem bernegara dan seterusnya berpolitik.

Terima kasih :)

Apa erti PAS pada saya? Khas untuk fanatik PAS

PAS adalah sebuah Gerakan Islam, sama seperti gerakan Ikhwanul Muslimin. Dan saya terbaca Ustaz Hadi mempunyai ramai kenalan di kalangan Ikhwanuk Muslimin. Saya menyokong PAS bukan kerana Ustaz Nik Aziz atau kerana PAS itu di Kelantan kuatnya, atau PAS itu PAS. Saya menyokong PAS kerana dasar yang dibawa oleh PAS adalah Islam. PAS mendokong perjuangan Islam, sama seperti perjuangan-perjuangan alim ulama' terdahulu.

Jika sekiranya, Y. Bhg. Datuk Seri Najib, entah macamana malam ini bermimpi berjumpa Nabi (beeessssttt sangat kalau baca citer dia dan naaakkkk sangat jumpa dengan dia) dan keesokan harinya dia bangun dari tidur dalam keadaan insaf dan seterusnya mengumumkan bahawa UMNO ingin menukar perlembagaannya kepada perlembagaan Islam (ini adalah anologi mudah sahaja), hari esok jugak saya akan mengisi borang UMNO dan UMNO boleh bergembira untuk dapat satu undi dari saya. Sebab apa? Sebab UMNO dah banyak berjasa pada orang Islam (secara tak langsung apabila UMNO membantu orang melayu). PAS? Apa yang dah PAS buat?

Oleh itu, sekiranya UMNO membawa Islam, UMNO lebih layak mendapat sokongan saya berbanding PAS. Namun, apakah disebabkan jasanya yang banyak namun perjuangannya menyimpang dari Islam, UMNO mahu saya menundinya? Minta maaf, saya lebih sayangkan agama saya berbanding bangsa saya. Teringat pula kisah mendiang Boon Siew Honda yang suka berbuat baik kepada orang dan banyak jasa pada pekerja-pekerja dia, termasuk orang melayu juga. Tetapi apakah disebabkan dia baik kita perlu ikut agama dia? Tak perlu begitu, kebaikan awak, saya ucapkan berbanyak terima kasih, tetapi perjuangan saya untuk Gerakan Islam, minta maaf.

Saya teringat kata-kata Ustaz Nik Aziz. Dia kata, PAS tertubuh pada tahun 1951 (kalau salah sila betulkan) dan terdapat banyak parti yang dituhkan sezaman dengan PAS dan selepas itu. Ingat tak dahulu kita ada parti HAMIM, BERJASA, Semangat 46, dan lain-lain, ingat tak? Di mana parti-parti itu sebelum ini? Semuanya dah berkubur, padahal parti-parti itu mempunyai sumber kewangan yang banyak, pengaruh yang kuat (ketika itu) dan pemimpin yang hebat-hebat. Tapi PAS? PAS tetap wujud, tidak mati. Walaupun pernah terjatuh, pernah tergolek, pernah berguling, pernah disepak, pernah menang, dan pernah banyak kali kalah, pernah hilang wang deposit, PAS tetap hidup. Berapa banyak pasti yang sezaman dengannya muncul dan lenyap selepas itu muncul pula parti lain kemudiannya lenyap pula, tetapi PAS tetap hidup. Kenapa tanta Ustaz Nik Aziz. Beliau menjawab, kerana PAS membawa Islam. Jika PAS tidak membawa Islam, nescaya sudah lama PAS lingkup, mati.

Saya sangat seronok sekali bilamana Gerakan Islam di negara kita mengadakan hubungan dengan gerakan-gerakan Islam luar negara. Kita semuanya bersaudara, tak kira bangsa melayu atau arab. Kita semua satu Ummah. Oleh itu, kepada penyokong-penyokong PAS, janganlah kita taksub (buta) kepada PAS sebagai parti politik. Kita hendaklah beristiqamah dengan perjuangan parti Gerakan Islam dan buat hubungan dengan rakan-rakan Gerakan Islam di negara-negara lain supaya pemikiran kita lebih terbuka, dan tidak terlalu taksub dengan mana-mana individu di dalam satu parti politik bernama PAS.

Muzakarah (Dua)

Saya terpanggil untuk menulis lagi, serba sedikit, tentang isu muzakarah antara parti Gerakan Islam yang diberi nama PAS dan parti gerakan Nasionalis yang diberi nama UMNO. Pendokong-pendokong UMNO adalah oarng-orang yang bijak pandai dalam mengatur persepsi rakyat terbanyak seperti saya. Mana tidaknya, pemikir-pemikirnya kebanyakannya orang-orang yang bijak yang mendapat peluang belajar di universiti-universiti ternama luar negara.

Contohnya dalam isu muzakarah ini, dimanipulasi media sebegitu rupa supaya dinampakkan PAS baru pertama kali memohon untuk mengadakan muzakarah setahun dua ini. Isu muzakarah ini baru timbul. Saya yakin ramai yang beranggapan sedemikian. Apa yang cuba ditampilkan melalui media-media adalah supaya orang terbanyak beranggapan bahawa PAS mula berjinak-jinak dengan muzakarah di atas sebab politik, bukannya atas sebab dakwah. Maknanya muzakarah mula ditimbulkan apabila PAS berada di dalam keadaan tersepit di kalangan partai-partai politik pakatan yang dua lagi itu.

Tetapi itu bukannya kebenaran. PAS adalah sebuah Gerakan Islam, dan disebabkan itu beban dakwah secara langsung terpikul di atas bahu PAS. Disebabkan bebanan dakwah inilah (dan bukannya disebabkan faktor politik) berpuluh-puluh surat dihantar kepada Y.Bhg. Tun Mahathir, Y.Bhg. Tun Abdullah untuk diadakan muzakarah (dah lamaaa daaaahhhh, bak kata Tun Mahathir.... :-)). Dan yang paling menariknya, terdapat saranan oleh Ustaz Nik Aziz supaya muzakarah ini disiarkan secara langsung di media elektronik tempatan. Namun balasananya? Tidak ada satu jawapan pun, malah surat yang dihanyar oleh PAS pun tak terbalas. Kenapa? Kerana PAS ketika itu parti politik yang lemah dan tidak berpengaruh seperti sekarang. UMNO pada masa itu, "tak amik pot" langsung saranan PAS supaya diadakan muzakarah. Ironinya, sekarang, UMNO pula yang menuduh PAS tidak ikhlas untuk mengadakan muzakarah! MasyaAllah.......

Apapun, sebagai Gerakan Islam, PAS perlulah berlapang dada dengan ujian ini. Bebanan dakwah (dan tazkirah dalam kes ini) tetap terpikul pada PAS (dan kepada kita semua) sampai bila-bila. Jika ada musliam yang mengatakan PAS tidak ikhlas, itu adalah ujian mehnah perjuangan supaya kita layak diberi pahala yang berlipat ganda oleh GOD/Allah/Tuhan yang esa. PAS tidak bermusuhan dengan Y. Bhg. Datuk Seri Najib, Y.Bhg. Tun Abdullah, malah Y. Bhg. Tun Mahathir sekalipun. Yang PAS memusuhi ialah ideologi yang dianuti oleh UMNO, yang percayakan bahawa perjuangan bangsa akan mendapatkan redha Tuhan mereka. Itu adalah tidak benar sama sekali. Perjuangan agama yang akan diredhai oleh Tuhan, itu adalah janjiNya dan janji nabiNya dan saya yakin sepenuh hati bahawa tuhan tidak mengilat janji.

Sunday, February 7, 2010

Muzakarah

Salam,

Perkataan muzakarah ni buat kali pertama saya dengar kira-kira dalam tahun-tahun 1990an dulu. Dah lama. Semenjak zaman Allahyarham Ustaz Fdzil Noor lagi. Sudah lama. Namun yang saya faham, pada masa itu, pihak UMNO yang selalu menolak. Setiap kali ditolak, perkara tersebut senyap terus sehinggalah ditimbukan semula oleh PAS. Jadi muzakarah ini perkara lama, bukannya baru sehari dua ini. Dan muzakarah ini tidak pernah UMNO yang membawanya, pihak PAS lah yang terhegeh-hegeh membawanya, baik di zaman Allahyarham Ustaz Fadzil mahupun di zaman Ustaz Hadi.

Apabila Ustaz Nik Aziz menyebut tentang muzakarah dua tiga hari lepas, riuh rendahlah pihak UMNO menempelak Ustaz Nik Aziz. Datuk Seri Najib berkata pendirian Ustaz seperti cuaca, sekejap kerajaan perpaduan tidak boleh, sekejap boleh. UMNO merasakan ustaz menaikkan kembali soal muzakarah ini setelah melihat parti gabunan pembangkang di Malaysia mempunyai masalah. Dahulunya beliau menolak setelah dilihat parti gabungan tersebut kuat dan gagah. Sekarang, bila dilihat parti gabungan rakyat menghadapi pelbagai masalah, boleh pula. Di sini timbul kekeliruan ramai. Ramai yang menyamakan istilah muzakarah yang ditimbulkan oleh ustaz Nik Aziz dengan istilah kerajaan perpaduan yang ditimbulkan oleh ustaz Hadi baru-baru ini. Kerajaan Perpaduan adalah satu konsep kerjasama politik dan sangat berlainan dengan muzakarah dan konsep kerjasama yang ditaja oleh ustaz Nik Aziz. Cuma yang silapnya "timing" isu muzakarah ini ditimbulkan oleh ustaz Nik Aziz. Dia menimbulkan isu muzakarah ini semasa orang masih lagi panas tentang isu kerajaan perpaduan (padahal kedua-dua ini adalah dua isu yang sangat berbeza).

Seperti yang saya sebutkan di atas, soal muzakarah yang dibawa oleh PAS telah lama, dan UMNO tidak pernah menjawab satu suratpun yang dihantar oleh Allahyarham Ustaz Fadzil kepada Tun Mahathir, ketika itu menjadi Perdana Menteri untuk bermuzakarah. Apa yang diinginkan oleh Ustaz Nik Aziz adalah perpaduan dari segi ideologi dan asas perjuangan, bukannya perpaduan politik. Maknanya, seruan muzakarah yang dibuat oleh Ustaz Nik Aziz bukannya seruan perpaduan poltik sepertimana kerajaan perpaduan di mana PAS akan masuk/bergabung dengan UMNO dan beberapa pemimpin PAS akan diberi jawatan menteri penting, namun UMNO tetap dengan perlembagaannya dan PAS juga akan tetap dengan perlembagaannya. Apa yang Ustaz Nik Aziz maksudkan ialah perpaduan dari segi ideologi dan ad-deen. Maknanya kita bersatu padu dengan UMNO bilamana UMNO bubarkan perlembagaanya dan menggantikannya dengan perlembagaan Islam (Qur'an dan Hadis) ataupun kedua-dua parti PAS dan UMNO dibubarkan dan ditubuhkan satu parti baru di atas dasar gerakan Islam di mana perlembagaannya adalah Qur'an dan Hadis. Itulah perpaduan yang dimaksudkan oleh Ustaz Nik Aziz. Dan perkara ini sudah lama, bukannya baru seminggu dua ini ditimbulkan. Ustaz Nik Aziz hanya menyambung seruan yang dibuat oleh presiden-presiden PAS yang terdahulu, bukannya perkara baru.

Wednesday, February 3, 2010

Kenapa Selalu Salahkan Gerakan Islam?

Perasaan saya bercampur-campur setiap kali membaca laman sesawang politik dan berbicara dengan teman-teman yang asyik menyalahkan gerakan politik islam dalam apa-apa hal pun.
Hudud tak dilaksanakan adalah kerana salah PAS. Masyarakat tidak faham hudud. salah PAS. Aktiviti tidak bermoral semakin meningkat, salah PAS. Ramai muslim murtad, salah PAS. Kerajaan Perpaduan tak menjadi, salah PAS. UMNO lemah, salah PAS. UMNO terpaksa membuat dasar-dasar yang tidak menguntungkan orang melayu, salah PAS. Apalah nasib gerakan Islam. Sedih pun ada sebab gerakan Islam yang sepatutnya disokong ditempelak dan tidak diberi keadilan sepenuhnya. Kesiannya Gerakan Islam.

Contoh, orang-orang yang marah kat PAS sebab menolak kerajaan perpaduan, bila ditanya, pada tahun-tahun 90 an dan 80 an dulu, semasa PAS lemah, bersendirian, adakah mereka ni penyokong PAS ke tidak, rasanya kebanyakannya tidakpun menyokong PAS. Begitulah lumrah manusia.

Kenapa Kerajaan Perpaduan tidak boleh diterima bagi saya?
1. Idea kerajaan perpaduan ditimbulkan oleh Tok Guru Haji Hadi, bukannya datang dari UMNO pun. Jadinya, kenapa orang-orang UMNO marah sangat? Kalau betul niat UMNO ikhlas nakkan kerajaan perpaduan disebabkan perpaduan melayu, kenapa tidak UMNO yang terlebih dahulu memberi idea kerajaan perpaduan ini? Dari sini, saya boleh menilai keikhlasan UMNO nakkan sangat kerajaan perpaduan bukannya disebabkan perpaduan melayu, tetapi disebabkan mahu meneruskan kuasa semata-mata.

2. Jika betul UMNO nakkan kerjaan perpaduan semata-mata atas sebab perpaduan melayu, kenapa tidak dulu, tahun-tahun 70an 80an 90an dulu? Kenapa baru sekarang beria-ria nakkan kerajaan perpaduan? Adakah kerana UMNO lemah sekarang? Betul ker ni ikhlas kerana bangsa dan agama atau ada niat lain nie...?

Kesimpulannya,
Wajarkah UMNO berasa marah dengan PAS disebabkan PAS menolak idea kerajaan perpaduan? Sepatutnya PAS mempunyai seribu satu sebab untuk merasa tidak yakin, merasa muyskil, dan syak di atas idea kerajaan perpaduan kerana PAS pernah terkena dulu, ingat tak? UMNO tidak boleh marahkan PAS sebab satu ketika dulu UMNO lah orangnya yang membuat onar menendang PAS keluar dari Pakatan setelah Pakatan kembali kuat. Ini tidak, bilamana PAS menolak, UMNO pula yang terlebih-lebih kecewa, sedih, marah, dan kata macam-macam kat PAS seolah-olah mereka tidak mempunyai sebarang dosa pun dengan PAS. Sepatutnya mereka bersabar dengan gelagat PAS kerana mereka sedar memang macam tu lah perangainya orang yang dah terkena, mereka akan terlalu waspada, syak, merasa sangsi. Kalau betul UMNO ikhlas untuk bangsa dan agama, UMNO pujuklah PAS, umumkan secara langsung ke seluruh negara mereka benar-benar insaf dan ingin kembali ke pangkal jalan. PAS diterajui oleh orang-orang yang baik dan orang-orang yang ikhlas dengan agama. Kalaulah betul UMNO memang ikhlas menerima idea Kerajaan Perpaduan semata-mata demi bangsa dan agama, tidaklah sukar ustaz hadi untuk menerima.

Kalau dibaca sejarah nabi, memang beginilah selalunya nasib Gerakan Islam. Di mana-mana pun. Selalu ajer dikenakan orang. Kesiannya Gerakan Islam. Saya merasa sedikit lega sebab semakin ramai lepasan ilmu dunia menjadi penyokong PAS, kerana mereka ini akan dapat membantu PAS.

Tuesday, January 26, 2010

My First Day

Pada hari ini, bertarikh 12 Safar 1431 Hijrah.