Thursday, September 27, 2012

Islam Dulu atau Ekonomi Dulu?


Saudara-saudara pembaca blog saya yang setia,

Baru-baru ini saya sekali lagi berpeluang untuk bebrincang dengan seorang pendokong fahaman Nasionalisme Kebangsaan. Perbincangan kami, Alhamdulillah berlangsung dalam suasana yang cukup santai, penuh muhibbah dan saling hormat menghormati antara satu sama lain. Salah satu adab berhujjah yang menjadi sunnah Rasulullah s.a.w adalah Nabi tak pernah menghalakan kebencian terhadap batang tubuh. Nabi hanya memusuhi dan membenci idelogi, doktrin, dan fahaman jahillayah/syaitan yang dianuti oleh seseorang itu. Berikut adalah pandangan sahabat saya tersebut:

“Islam bukan hanya tentang Hudud atau tentang memakai serban atau tentang pemakaian tudung, Islam adalah lebih besar dari itu. Pandangan jumud dan jiwa kecil pendokong PAS melihat Islam itu berkisar tentang Hudud dan pemakaian tudung sahaja. UMNO tidak begitu, UMNO memandang Islam itu lebih besar dari itu. Islam adalah tentang perjuangan memartabatkan taraf ekonomi muslim agar muslim dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan mana-mana agama lain di dunia. Islam bagi UMNO adalah menjaga kesejahteraan umat, meningkatkan martabat muslim sehingga muslim di Malaysia di pandang tinggi di seluruh dunia, dihormati dan dipuja di sleuruh dunia. Perjuangan Islam bagi UMNO cukup suci, pengorbanan UMNO untuk memartabatkan Islam agar ia dipandang mulia adalah sangat tinggi. Lihat, disebabkan usaha Malaysia memartabatkan Islam, Malaysia dihormati oleh Presiden Barrack Obama yang mengaggap Malaysia adalah Negara Islam contoh. Pandangan saya, realistiklah sedikit. Kamu mahu bercakap tentang Hudud, solat, pakai tudung labuh – tapi umat merempat dalam kemiskinan, terpaksa meminta-minta dengan orang cina untuk memakan sesuap nasi. Begitukah yang Islam nak? Itukah yang Allah mahukan? Soal isteri Presiden UMNO yang tidak menutup aurat, itu adalah soal beliau dengan Allah, tiada kaitan dengan kita. Kita buat amalan kita dan dia buat amalan dia. Setiap manusia hanya akan dipertanggungjawabkan dengan amalan masing-masing. Kalau dia tak pakai tudung, dia yang akan dihukum oleh Allah, bukan kita. Jadi mengapa mahu bising Y. Bhg. Datin Sri tak pakai tudung?”

Begitulah pandangan sahabat saya tersebut. Sebenarnya pemikiran sahabat saya ini bukanlah merupakan satu bentuk pemikiran yang baru. Seingat saya, pemikiran sebegini mula dipopularkan oleh Y. Bhg. Tun Mahathir Muhamad, bekas Perdana Menteri Malaysia.  Y. Bhg. Tun melontarkan pertanyaan beliau “Yang mana nak perjuangkan dulu, Islam atau Ekonomi?” Y. Bhg. Tun berhujjah, Adakah kita nak perjuangkan Islam dulu - berserban, bersolat, meratib, berqiyamullail setiap masa (bersungguh-sungguh perjuangkan Islam dulu) tapi biarkan ekonomi Negara dikuasai bangsa lain, pendapatan bulanan hanya cukup makan, anak-anak terbiar kerana kita sibuk bertazkirah, kais pagi makan pagi kais petang makan petang? Adakah kita nak begitu? Atau kita nak stabilkan ekonomi kita dulu, perkukuhkan kedudukan kewangan dulu, agar senang beribadat, masjid kita dapat dirikan dengan selesa, lengkap dengan aircond, nak berqiyamullail dengan selesa. Yang mana satu kita nak? Begitulah lebih kurang Tanya Y. Bhg. Tun.

Saudara-saudaraku yang dikasihi,
Sesungguhnya pemikiran sahabat saya dan Y. Bhg. Tun di atas bersandarkan kepada satu prinsip yang sangat penting. Pandangan mereka terhadap ugama bersandarkan pegangan bahawa Islam dan ekonomi itu merupakan dua perkara yang tidak bercampur, terasing antara satu sama lain. Kalau nak buat Islam dulu, kena tinggalkan ekonomi dan kalau nak buat ekonomi dulu, kena tinggalkan Islam sekejap. Ini merupakan satu pandangan terhadap ugama yang sangat salah. Bagi mereka berdua, apa yang dinamakan “Islam” itu adalah merujuk kepada serban, meratib, berjubah, berqiyamullail, solat, ibadah haji, berzanji, dan sebagainya.  Itu adalah “Islam” bagi mereka. Dan apa yang dinamakan “ekonomi” bagi mereka adalah pelaburan, free trade agreement, trading, portfolios, accounting, dan seterusnya. Bagi mereka, kedua-dua perkara ini adalah dua perkara yang sangat berbeza antara satu sama lain.

Islam itu sebenarnya bukanlah satu ugama, tapi Islam itu merupakan satu “cara hidup” dan norma serta peraturan hidup. Ianya adalah satu system di mana kita hidup di dalam system tersebut. Di dalamnya ada cara-cara untuk beribadah (solat, haji, puasa seperti yang difahami oleh sahabat saya dan Y. Bhg. Tun tadi), ada pula cara-cara untuk memenuhi keperluan makan minum manusia (berekonomi, berjual beli, memakan gaji, dan sebagainya), ada pula cara bagaimana nak tetapkan peraturan agar mewujudkan order dalam masyarakat (Sistem perundangan hudud, qisas, ta’azir dan sebagainya). Islam itu adalah satu “kerangka” hidup di mana kita disuruh hidup di dalam kerangka tersebut.

Memperbetulkan pemahaman kawan saya dan Y. Bhg. Tun tadi, apa yang Islam suruh bukanlah memajukan ekonomi umat  dan menstabilkan kedudukan kewangan umat dahulu kemudian barulah dijaga hokum hakam ugama, tapi Islam itu merupakan kedua-duanya sekali, serentak. Kedua-duanya perlu diambil secara syumul dan serentak, MNGIKUT ACUAN ISLAM, DALAM KERANGKA YANG TELAH DITETAPKAN. Di sini salahnya pemikiran kedua-dua hamba Allah tersebut.

Kesimpulannya, pakai tudung (tutup aurat) pun wajib, mengkayakan umat pun wajib bagi pemerintah. Kedua-duanya wajib. Kedua-duanya pelru dilaksanakan di dalam system-sistem hidup yang telah ditetapkan oleh Allah.

No comments:

Post a Comment