Teman-teman semua,
Saya terlihat satu blog pendokong ideology Nasionalisme Kebangsaan (baca:UMNO) baru-baru ini. Di dalam salah satu tulisannya penulis blog tersebut telah menulis satu artikel panjang lebar tentang ”2 sisi berbeza Ustaz Nik Aziz Nik Mat dan Y. Bhg. Tun Matahir”. Dalam artikel berkenaan, penulis telah meletakkan 2 gambar kedua-dua tokoh berkenaan. Bagi Ustaz Nik Aziz, beliau telah meletakkan 2 gambar: gambar pertama berjudul ”gambar yang biasa kita lihat di media massa” yang menunjukkan Ustaz Nik Aziz memakan nasi bungkus di kedai di tepi jalan dengan penuh zuhud dan seperti rakyat biasa. Gambar kedua pula berjudul ”Gambar yang jarang kita lihat di media massa” menunjukkan Ustaz Nik Aziz sedang menyantap makanan di Hotel bertaraf 5 bintang menggunakan sudu dan garfu dengan penuh kemewahan dan kekayaan. Begitu juga dengan Y. Bhg. Tun, diletakkan 2 gambar: Gambar pertama berjudul ”Gambar yang biasa kita lihat di media massa” yang menunjukkan Y. Bhg. Tun sedang makan dengan segelas air berwarna kekuningan dengan penuh kemewahan dan kekayaan. Gambar kedua pula berjudul ”gambar yang jarang kita lihat di media massa” menunjukkan Y. Bhg. Tun sedang bersolat di hadapan ka’abah memakai kain ihram yang sangat sederhana dan beliau tidak ditemani sesiapa, sangat rendah diri menyembah Allah.
Secara mudahnya, apa yang penulis ingin gambarkan adalah Ustaz Nik Aziz juga sama sahaja seperti Y. Bhg. Tun, cuma media yang memomokkan rakyat dengan kezuhudan beliau, kerendahan beliau, sifat rendah diri beliau, sedangkan pada dunia realiti, Ustaz Nik Aziz sebenarnya makan dengan sudu dan garfu, menginap di Hotel 5 bintang, sangat mewah. Begitu juga dengan Y. Bhg. Tun. Penulis cuba menggambarkan Y. Bhg. Tun yang biasa kita lihat dipromosikan dia media sebenarnya sama dengan sisi zuhud Ustaz Nik Aziz. Ya, kita biasa lihat Y. Bhg. Tun berkereta Mercedes, tapi sebenarnya di dunia luar, Y. Bhg. Tun juga memakan nasi lemak di warung di tepi jalan, Y. Bhg. Tun juga memakai kain pelikat dan baju pagoda. Sama sahaja, Cuma yang membezakan mereka berdua hanyalah media. Ustaz Nik Aziz Islam dan zuhud, Y. Bhg. Tun Mahathir juga Islam dan zuhud. Islam Ustaz Nik Aziz tak lebih dari Islam Y. Bhg. Tun.Kedua-duanya sama, Cuma dibezakan melalui peranan media. Begitulah maksud si penulis.
Teman-teman,
Apa itu Islam? Islam sebenarnya bukanlah suatu ugama. Ya, Islam bukan merupakan ugama dari erti kata cara-cara menyembah Tuhan. Bukan. Islam sebenarnya adalah CARA. Ya, Islam adalah cara. Islam mengajar kita cara untuk hidup, bukan hanya cara untuk menyembah Tuhan. Islam itu merupakan cara yang diredhai oleh Tuhan. Termasuk di dalam Islam adalah cara untuk menyembah Tuhan pencipta (ini dinamakan sistem beribadah). Termasuk di dalam Islam adalah cara untuk berhibur (ini dinamakan sistem hiburan Islam). Termasuk di dalam Islam adalah cara untuk berniaga (ini dinamakan sistem ekonomi Islam). Termasuk di dalam Islam adalah cara untuk berperaturan (ini dinamakan sistem perundangan Islam), dan seterusnya. Nak seks? Islam benarkan, tapi begini caranya. Nak jadi kaya? Boleh, Islam benarkan, tapi begini caranya. Nak berhibur dan enjoy dan have fun? Boleh, Islam benarkan, tapi ini caranya. Semuanya Islam letakkan caranya, bagini, begini, begini, begini.
Berbalik kepada gambar tadi. Islam tak kata kaya itu haram dan tak boleh kaya. Tidak! Islam tak kata berkereta Mercedes itu tak boleh. Islam tak kata makan menggunakan sudu dan garfu itu tak boleh. Tidak! Tapi Islam letakkan cara dan acuannya, nak kaya, begini caranya. Nak miskin, begini caranya. Kaya Ustaz Nik Aziz dan zuhud Y. Bhg. Tun bukan isunya. Isunya adalah samada kaya Ustaz Nik Aziz itu mengikut acuan Islam atau tidak. Isunya adalah zuhud Y. Bhg. Tun mengikut acuan Islam atau tidak. Ini semua berkaitan dengan idelogi. Jika kita miskin dan zuhud, tapi kita memeluk idelogi sekularisme, zuhud kita adalah sia-sia di sisi Allah. Jika kita kaya, berkereta Mercedes, memakan dengan sudu dan garfu, tapi kaya kita itu mengikut acuan ideologi Islam, maka kaya itu merupakan satu pahala di sisi Allah.
Saudara-saudara saya semua,
Islam nie, adalah suatu ugama yang kita kena faham dan kita kena belajar. Kejahilan adalah musuh Islam. Bila kita tak faham, maka kita akan menulis mengikut tulisan si penulis blog tadi. Bagi beliau, Islam itu adalah zuhud, Islam itu adalah senyum manis berserban dan berselipar Jepun. Bagi beliau, bukan Islam jika bertali leher, berkot dan berkereta Audi. Sebenarnya ini adalah racun orientalis yang sangat membenci Islam. Para orientalis cuba menyebarkan faham bahawa Islam itu adalah berserban dengan baju bertampal sini sana dan berselipar Jepun. Orientalis menyebarkan fahaman bahawa bukan Islam jika seseorang itu bertali leher, berkot, dan belajar di Wharton Business School dan bergaji enam angka sebulan. Saya mahu kita semua buang jauh-jauh pemikiran seperti ini, pemikiran kolot, ketinggalan zaman.
No comments:
Post a Comment