Pengikut-pengikut Blog saya yang diingati,
Di Malaysia, kita punyai banyak Gerakan Islam, alhamdulillah. Gerakan Islam di Malaysia bukan hanya PAS, tapi kita ada banyak lagi gerakan-gerakan islam yang lain. Di arena politik, kita ada PAS. Di arena tazkirah, kita ada Jamaah Tabligh. Di arena pendidikan Islam, kita ada ABIM. Di arena dakwah, kita ada PERKIM. Di arena sosial Islam, kita ada JIM. Kesemua ini adalah Gerakan Islam, iaitu sebuah gerakan yang ingin memperjuangkan sistem hidup Islam.
Dan setiap Gerakan Islam di atas mempunyai pemahaman dan kaedah mereka sendiri bagaimana Islam harus ditegakkan. PAS misalnya berpandangan, Islam yang syumul boleh ditegakkan melalui platform politik yang memungkinkan keseluruhan sistem-sistem hidup Islam dilaksanakan secara menyeluruh dengan adanya kuasa politik. Jamaah Tabligh pula berpandangan perjuangan politik tak begitu penting, yang lebih penting adalah tarbiyah kepada unit-unit kecil individu-individu muslim. Jika semua individu berjaya ditarbiyah, maka dengan sendiri seluruh negara akan tertarbiyah dan Negara Islam tertubuh dengan sendirinya. ABIM juga punyai kaedah dan pendekatannya sendiri, JIM juga begitu, PERKIM juga begitu. Masing-masing berbeza cara, kaedah, falsafah, pendekatan masing-masing.
Bagi saya, perbezaan pendekatan antara gerakan-gerakan islam bukanlah suatu isu besar. Kita semua adalah "pekerja" Islam dengan tugas masing-masing. Masing-masing perlu buat kerja masing-masing. Yang penting, kita jangan khianati rakan gerakan islam kita yang lain.
Saya nak sentuh sedikit sedikit isu berkaitan dengan perbezaan peranan antara gerakan-gerakan islam ini. Seharusnya setiap gerakan islam di atas menghormati peranan masing-masing. Contohnya begini. ABIM, sebuah Gerakan Islam bertaraf NGO dan sangat aktif dalam bidang Sistem Pendidikan Islam. Disebabkan tarafnya sebagai NGO, maka ABIM perlu mempunyai hubungan yang kuat dengan pemerintah - UMNO. Maka untuk itu, ABIM perlu mendekatkan dirinya dengan UMNO, jemput Y. Bhg. Dato' Najib rasmikan acaranya, mohon dana dari UMNO, dan sebagainya. Apabila begitu, janganlah PAS pula menuduh "Owh, ABIM ni jahat, ABIM sokong sekularisme, ABIM agensi UMNO". Jangan! Kita sesama Gerakan Islam perlu menghormati peranan masing-masing. ABIM, sebagai sebuah NGO yang mempromosi sistem pendidikan islam, dalam kerja dakwahnya mereka perlu dekat dengan pemerintah, maka PAS kena hormat. Jangan terus menuduh melulu "ABIM hamba UMNO". Begitu jugalah sebaliknya. ABIM, walaupun rapat dengan UMNO, minta bantuan kewangan dengan UMNO, tapi setiba waktu mengundi, janganlah pula memangkah UMNO pula. Memangkah UMNO seumpama meredhai ideologi nasionalisme kebangsaan yang dianuti UMNO. Oleh itu, kita perlu menghormati peranan masing-masing dan pada masa yang sama, kekal pada objektif yang sama, iaitu memartabatkan Islam.
Kesemua gerakan-gerakan islam ini adalah merupakan satu pasukan. Mereka dalam satu kapal. Matlamat mereka sama, cuma pendekatan masing-masing berbeza.
No comments:
Post a Comment