Monday, November 28, 2011

Kefahaman Menyeluruh Kepada Pendokong Gerakan Nasionalisme Kebangsaan

Saudara-saudara pembaca blog yang saya sayangi semuanya,

Setelah agak lama berbincang, berbahas, dan berdebat dengan beberapa pendokong Gerakan Nasionalisme Kebangsaan di Malaysia, saya mendapati terdapat beberapa kekeliruan di pihak mereka dalam memahami perjuangan Gerakan Islam. Kekeliruan inilah yang menyebabkan mereka menentang dan terus menentang Gerakan Islam dengan keras. Di sini saya cuba senaraikan kekeliruan tersebut satu persatu:

1. Menyangka bahawa kesemua ini hanyalah satu pertandingan politik untuk mendapatkan kuasa, tidak lebih dari itu.
Para pendokong Gerakan Nasionalisme Kebangsaan tidak faham bahawa perjuangan Gerakan Islam adalah kerja ugama. Bagi mereka, Gerakan Islam adalah sama sahaja seperti mereka, sama-sama berebut mahukan kuasa. Itu sahaja. PAS dan UMNO sama sahaja. SOrang guna agama, sorang lagi guna bangsa. Tujuan mereka sama. Itu sahaja yang mereka faham tentang PAS.

Sebenarnya perjuangan PAS adalah lebih dari itu. PAS wujud kerana ugama. PAS wujud kerana dalam Islam ada satu bab khusus tentang sistem bernegara. Musuh PAS bukan UMNO sebenarnya. MUsuh PAS adalah lebih besar dari UMNO dan lebih bertemadun dari UMNO. Musuh PAS adalah ideologi sekularisme yang berakar umbi sejak beratus tahun dulu di Eropah. UMNO hanyalah "budak suruhan" faham sekularisme ini. UMNO tiada apa-apa. Musuh terbesar PAS adalah ideologi yang mengasingkan dan meleraikan Islam kepada bahagian-bahagian tertentu kehidupan manusia.


2. Menyangka bahawa PAS adalah musuh, bukannya Da'ie
Disebabkan PAS masuk politik dan berlawan dengan UMNO, maka UMNO melayan PAS sebagai seorang musuh. Pandangan ini disebabkan oleh kejahilan para pendokong Gerakan Nasionalisme Kebangsaan terhadap konsep "Politik Islam". Politik Islam ni matlamat dia nak ajak orang semua ke arah kebaikan masyarakat secara keseluruhan.

Saya nak beritahu kepada UMNO, kami memusuhi kamu bukan kerana kamu tu UMNO! Bukan! Kami memusuhi kamu kerana ideologi kamu! Sedarlah. Kami sayangkan kamu, kami nakkan kamu menjadi seperti kami. Jika kamu mahukan kuasa, maka ambillah dan memerintahlah sehingga kiamat sekalipun, kami tak kisah. Satu sahaja permintaan kami, terima Islam, nescaya tiada lagi berbalah antara kita.

3. Persepsi terhadap "agamawan"
Bagi para pendokong Gerakan Nasionalisme Kebangsaan, bila disebut "ustaz" maka terbayanglah di mata mereka seorang jejaka yang bekerja dengan JAKIM, berkopiah, dan membaca doa' dalam majlis-majlis rasmi kerajaan. "Ustaz" juga bagi mereka adalah lebai yang mengajar tentang syarat-syarat sah solat di surau-surau dan diberi elaun bulanan oleh Kerajaan. Pendek kata, golongan "ustaz", pada pendapat para pendokong Gerakan Nasionalisme Kebangsaan, adalah golongan lebai yang mahir tentang hukum hakam feqah dalam Islam. Bagi mereka, agamawan tidak sepatutnya membabitkan diri dalam dunia politik kerana itu bukan tempat mereka.

Ini adalah satu pandangan yang salah. Saya nak kita semua ubah pandangan seperti ini. Saya nak setiap kali kita sebut Ustaz, maka terbayanglah seorang anak muda yang hebat, berkarisme, bertali leher dan berkot dan lepasan dari Wharton Business School yang tersohor.

4. Salah faham terhadap konsep dakwah.
Bagi mereka, PAS adalah orang baik-baik. Tugas orang baik-baik sepatutnya menyantuni UMNO dengan senyum dan berhemah, bukannya memusuhi UMNO!
Islam itu tertegak atas dakwah, maka seharusnya PAS berdakwah kepada UMNO, menyantuninya, menjiwainya secara lembut dan santun. Itu adalah dakwah bagi golongan pendokong Gerakan Nasionalisme Kebangsaan. Dakwah bagi mereka adalah apa yang dilakukan oleh Jamaah Tabligh.

Sebenarnya Dakwah adalah lebih besar dari itu. Dakwah adalah agenda dunia Islam. Dakwah matlamatnya adalah menubuhkan sekumpulan manusia yang taat pada Allah dari semua segi hidup, dari konsep bernegara hinggalah kepada urusan harian individu. Cara dan tekniknya? Hah, caranya terpulanglah pada kebijaksanaan Gerakan Islam itu sendiri. Jika dirasakan dengan bersifat keras objektif tersebut boleh dicapai, maka bersifat keraslah ia. Jika dirasakan dengan bersifat lembut objektif itu boleh dicapai, maka bersifat lembutlah ia. Ini soal strategi, bukan dasar.