Sunday, March 28, 2010

Salah Faham Terhadap Islam dan Salah Faham Terhadap Gerakan Nasionalis

Salam,

Baru-baru ini terdapat adik-adik yang membaca blog saya dan berkata pada teman-temannya yang turut membaca blog saya, "Abang nie kuat PAS tau, korang elok-elok tau bila sembang ngn dia. Jangan dok loklak (pelat bahasa Kedah). Haaa....ko ni lak (teman dia yang sorang lagi), pakai tudung tau bila jumpa dia".

Saya tersenyum sendirian mendengar "remark" adik saya yang seorang ini. Saya kira adik tersebut mengaitkan PAS dengan Islam bila beliau berkata demikian. Daripada kenyataan adik saya ini, ada dua kesimpulan yang boleh saya buat tentang salahfaham umatnya sendiri tentang agama Islam.

1. Salah faham pertama adalah menyangka Islam adalah agama yang perlu kita rasa "malu" bila kita berhadapan dengannya. Kita kena berpakaian sopan, tidak menonjolkan diri sendiri kerana perlu menjaga tingkah laku, sopan, dan jaga kata-kata, fe'el perangai. Ini adalah perangai orang melayu tahun 1970an dan 1980an yang kita perlu buang jauh-jauh. Bila dengar sahaja perkataan "Islam", maka terbayanglah seorang gadis bertudung labuh, tidak mendengar muzik sepanjang hidup dia, tidak bergelak ketaqwa kerana kononnya menjaga tingkah laku, bekerja sebagai seorang ustazah di sekolah agama dan bergraduasi dari Universiti Malaya jurusan Pengajian Islam. Marilah sama-sama kita buang jauh-jauh gambaran Islam yang satu ini. Gambaran ini sebenarnya telah meracuni pemikiran kita sebegitu lama dan telah diracunkan kepada kita oleh para orientalis Inggeris semasa mereka menjajah kita dulu. Ini adalah pemikiran zaman penjajah yang kolot, lapuk, ketinggalan sampan, dan bodoh. Para orientalis ini mahu, apabila disebut Islam, maka konsert adalah haram, fesyen adalah haram, muzik adalah haram, bola sepak adalah haram. Mereka mahukan apabila kita berfikir tentang Islam, kita akan terbayangkan masyarakat Taliban di Afghanistan yang memakai semutar, setiap muslim diwajibkan menyimpan janggut dan setiap muslimah diwajibkan memakai burga, purdah. Tiada fesyen. tiada kehidupan, tiada kreativiti.

Umat Islam sebenar adalah apabila sahaja disebut tentang Islam atau gerakan Islam, maka terbayanglah kita seorang anak muda bergraduasi dari LSE, bertali leher dan berkot dan bekerja sebagai financial controller di syarikat Fortune 500. Marilah kita tunjukkan kepada para pendokong gerakan nasionalis di Algeria, Sudan, Indonesia, Malaysia, dan di mana-mana pun, bahawa Islam juga boleh!

Pada masa yang sama, para pendokong gerakan Islam henfaklah memandang tinggi dan mulia pemegang gelaran "ustaz", pakaian jubah, serban dan kopiah. Para pendokong gerakan nasionalis kebangsaan tentunya menganggap pakaian seperti ini adalah kolot, kampung, Kelantan, fanatik, teroris dan pelbagai terma negatif lagi tanpa menyedari inilah pakaian nabi mereka. Para pendokong gerakan nasionalis kebangsaan ini akan berkata, "Jangan ingat mereka yang berserban dan berjubah itu Islam. Apa yang ada pada pakaian? Saya pun boleh pakai ketayap jika saya mahu, tapi saya melihat pada kesesuaian untuk memakainya mengikut tempat. Jika ke Parlimen, saya memakai kot dan tali leher, jika ke masjid, saya memakai ketayap. Saya tidak memakai ketayap ke Parlimen bukan bermakna saya kurang Islam dari orang itu (sambil menunjuk ke arah gambar ustaz Hadi". Begitulah kata mereka. Daripada kenyataan mereka itu, dapatlah kita ukur setakat mana cinta mereka terhadap Nabi, setakat mana ikhlas mereka terhadap Islam. Betapa mereka amat gemar memisah-misahkan agama. Memisah-misahkan agama amat cocok dan sesuai dengan hati mereka. Mereka suka memperlekeh-lekehkan pakaian Nabi. "Apa ada pada pakaian?", kata mereka. Ini sebenarnya adalah perkataan yang diucapkan oleh para orientalis yang sangat memusuhi Islam.

2. Salah faham yang kedua adalah salah faham pendokong gerakan Islam terhadap partai UMNO. Saya mahu bertanya kepada para pendokong gerakan Islam di Malaysia, mengapa kita perlu menentang dan bermusuh dengan UMNO, sebuah parti yang didokong oleh mereka yang sebangsa dengan kita, sedarah sedaging dengan kita, berbahasa yang sama dengan kita, dan seagama dengan kita? Mengapa kita bermusuh dengan mereka? Bagi saya, para pendokong gerakan Islam tidak bermusuh dengan sebuah parti politik yang bernama U.M.N.O. Tidak!. Kita juga tidak bermusuh dengan Tuan Haji Zul, Y. Bhg. Dato' Seri Najib dan Y. Bhg. Tun Mahathir. Kita tidak bermusuh dengan mereka kerana mereka asalnya orang Johor, atau kerana mereka berbicara dalam bahasa Inggeris atau kerana mereka berbaju kot dan bertali leher. Kita tidak bermusuh dengan UMNO. Habis tu apa yang kita memusuhi?

Para pendokong gerakan Islam sebenarnya memusuhi ideologi sekularisme yang dianuti oleh pendokong parti UMNO itu. Ideologi. Kita bermusuh dengan ideologinya, bukan orangnya. Kita semua orang-orang Islam (tidak kira PAS atau UMNO) perlu, dengan sepenuh hati, membenci, melaknat, menyumpah, dan menolak ideologi sekularisme ini. Bagi mereka yang menganuti ideologi sekularisme dan pada masa yang sama mengaku beragama Islam seperti Tuan Haji Zul, tugas kita saudara seislam hendaklahmendoakan mereka supaya dibuka mata hati merekamenerima Islam yang syumul, Islam seperti yang kesemua kita para pendokong gerakan Islam kenal. Dan kita hendaklah bersabar dengan tohmahan, pulauan, hinaan mereka kerana mereka adalah orang-orang yang tidak mengetahui. Kita bersabar begini kerana mereka adalah orang-orang yang seagama dengan kita, saudara kita semua.

Janganlah kita bersikap seperti esetengah pendokong gerakan Islam dari Kelantan yang memusuhi ideologi sekularisme ini tetapi pada masa yang sama turut memusuhi batang tubuh orang itu. Ini adalah sikap yang salah dalam dakwah. Kita perlu memusihi ideologi Tuan Haji Zul, tetapi perlu menyayangi batang tubuh Tuan Haji Zul dengan mendoakan kebaikannya. Inilah yang selalu diajarkan oleh Nabi, agama itu nasihat. Di arena politik berdemokrasi pula, untuk menunjukkan permusuhan kita dengan ideologi sekularisme ini, para pendokong gerakan Islam tahun-tahun 1940an dan 1950an (ustaz-ustaz dan tok-tok guru pondok pada masa itu)telah menubuhkan sebuah parti politik berteraskan Islam bernama PAS yang kita kenali hari ini, sama seperti parti Ikhwanul muslimin, Refah, dan Hamas, Masyumi dan lain-lain lagi.

Kita gunakan Partai PAS ini untuk bermusuh dengan ideologi sekularisme anutan partai UMNO. Akhir kata, marilah wahai pendokong partai UMNO, marilah sama-sama kita membenci, memusuhi, mendendami, dan menolak ideologi sekularisme. Sekularisme, musuh utama Islam di abad ini. Ingatakan ini ikhlas dari Saudaramu, Hamba kepadaNya.

Wednesday, March 17, 2010

Tuan Haji Zul (Tiga)

Salam,

Tulisan ini adalah sambungan daripada dua tulisan saya sebelum ini (Tuan Haji Zul, Tuan Haji Zul (Dua)).

Sekarang marilah kita cuba menjawab pula persoalan yang dilemparkan oleh Tuan Haji kerana begitulah cara yang diajarkan Nabi kepada kita. Islam tertegak dengan hujah, bukannya mata pedang atau kekerasan.

1. Palestin
Tuan Haji, benar, Tun Mahathir adalah orang yang paling terkedepan (sekurang-kurangnya di media) memperjuang nasib negara Palestin. Namun, perjuangan Y. Bhg. Tun bukanlah berasaskan iman dan Islam. Bukan berasaskan semangat ukhuwah umat Islam. Dia memperjuangkan Pelstin di atas dasar hak kemanusiaan dan keadilan. Jika sekiranya di Palestin itu didiami oleh penganut-penganut agama Kristian, pun dia akan memperjuangkan kemerdekaan negara Palestin, sama seperti dia perjuangkan sekarang. Sedangkan bagi pendokong gerakan Islam, perjuangan Palestin adalah perjuangan agama. Palestin adalah sebahagian dari Islam dan mati memperjuangkan Palestin bukan hadiahnya title "rakan Palestin" tapi Syahid. Adakah kita akan percaya yang Y. Bhg. Tun memperjuangkan Palestin di atas dasar iman apabila beliau sendiri berkata Nabi tidak mencukur janggut kerana Nabi tiada pisau Gillette?? Saya amat pasti beliau tidak terlintas sedikitpun untuk menghina Nabi. Namun kenyataan beliau itu menunjukkan betapa jauhnya Y. Bhg. Tun dengan Nabi. Adakah kita sanggup mengatakan bulu roma awek kita panjang sebab awek kita lupa untuk cukur? Jika kita cintakan awek kita tu, tentulah kita sedaya upaya menyembunyikan keburukan awek kita. Sayang, itulah perkataannya.

2. Hudud
Saya agak keberatan untuk berbahas panjang tentang Hudud kerana terdapat banyak sangat pendapat ulama' tentangnya. Ada yang mengatakan wajib, ada yang mengatakan harus. Tapi Demi Allah, Tuan Haji, Ustaz Nik Aziz akan tetap mengatakan Hudud itu wajib, walaupun dia mati dan selepas itu dihidupkan semula. Saya tak pernah ragukan walau sedikitpun keyakinan ustaz Nik Aziz terhadap perkara itu.

3. Kelantan
Kelantan adalah negeri yang mencatat kes rogol tertinggi. Ya, mungkin benar kenyataan dan statistik itu. Islam ini sifatnya bukan seperti tongkat Nabi Musa yang mempunyai kuasa ajaib. Islam tidak pernah mengiktiraf kuasa ajaib, dewa, langit terpecah tujuh, anak buluh betung keluar pada malam ketujuh dan apa-apa lagi semangat hantu yang cukup digemari oleh orang-orang melayu. Kalaulah Islam itu ajaib, contohnya sesiapa sahaja yang masuk Islam, esoknya dia akan secara ajaib menjadi kaya, tentu sekali orang pertama yang akan masuk Islam adalah Abu Lahab, bukannya Sayyidina Abu Bakar. Begitulah juga dengan pemerintahan negeri didokong oleh gerakan Islam. Kalaulah Kelantan yang diperintah oleh PAS secara ajaib mencatat kosong gejala sosial, KDNK negeri mencatat peningkatan mendadak, saya rasa dah lama PAS akan menang di Malaysia nie. Adakah jika Kelantan mencatat kes rogol teringgi kita akan berkata, "Oh, Kelantan yang diperintah oleh Partai Gerakan Islam mencatat kes maksiat tertinggi! Oleh itu marilah kita pakat tinggalakn Islam, kerana Islam itu tidak benar. Buktinya kes maksiat di negeri gerakan Islam lebih tinggi dari Negeri diperintah Gerakan Nasionalis Kebangsaan. Kes maksiat ini kita akan jadikan ukuran siapa yang benar siapa yang salah". Adakah kita akan berkata begitu? Demi Allah, jika sekiranya kes rogol di Kelantan meningkat 100% lagi, pun saya tidak akan tinggalkan Gerakan Islam. Islam itu benar, tiada yang benar dari Islam.

4. Ustaz Nik Aziz
Bagi saya ini adalah pendapat peribadi Tuan Haji Zul terhadap ustaz. Ini masalah peribadi. Saya tidak ambil peduli pada masalah peribadi. Ikut suka Tuan haji jika tuan haji mahu suka dan mahu benci pada sesiapapun, saya taknak masuk campur. Saya lebih berminat memperkatakan tentang soal dasar daripada soal peribadi. Saya tidak kisah jika Ustaz nak kenal sampai mati kat kerusi MB atau Cina Muslim nak jadi MB, atau India muslim nak jadi MB, asalkan dia tawadduk, zuhud, dan taqwa kepada Allah dan partai yang diwakilinya adalah jemaah Gerakan Islam. Yang lain, belakang kira. Walau apapun, Ustaz nik aziz yang saya kenal adalah orang yang paling ikhlas terhadap agamanya. Saya kira saya mempunyai sedikit kelebihan berbanding tuan haji untuk memberi komen tentang peribadi ustaz kerana rumah saya dengan rumah ustaz hanya 5 minit memandu kereta. Saya mengikuti keliahnya sejak saya berada di tingkatan 3 lagi. Saya kenal adik beradiknya, saya kenal anak-anaknya, saya kenal orang kampungnya, saya kenal ayahnya dan saya kenal DIA, macamana jenis orangnya. Itu saya komen saya tentang beliau.

Monday, March 15, 2010

Tuan Haji Zul (Dua)

Salam,

Tulisan ini adalah rantaian dari tulisa saya yang lepas. Jadi, tulisan ini hendaklah dibaca selepas anda membaca tulisan saya yang lepas (Tuan Haji Zul).

Wow, banyak sungguh komen Tuan Haji kita ni. Pening jugak dibuatnya. Banyak betul komen beliau yang dirangkumkan dalam satu perbualan. Tidak mengapa, jom kita cuba kupaskan persoalan yang diutarakan oleh tuan haji satu persatu. Tetapi, sebelum kita mengupas komen beliau, saya nak luahkan kemarahan saya kepada sistem pendidikan kita selama ini. Secara jujurnya saya tidak langsung marahkan Tuan Haji. Betul. Saya salahkan sistem pendidikan kita yang membentuk pemikiran sahabat saya yang seorang ini. Disebabkan sistem pendidikan kitalah, lahirnya pemikiran-pemikiran sebegini, dianutinya, dan diperjuangkan oleh orang-orang seperti tuan haji ini. Para pembaca yang budiman sekalian, boleh tak kita bayangkan dosa menteri-menteri pendidikan kita terdahulu (termasuk juga saudara Anwar Ibrahim) yang membentuk dan merekacipta dasar pendidikan negara yang telah melahirkan beratus-ratus ribu manusia yang tersalah faham terhadap agama mereka sendiri? Besar sungguh dosa mereka.

Disebabkan persoalan yang ditimbulkan oleh Tuan Haji begitu besar dan menyentuh soal dasar, maka saya perlu menerangkan tentang konsep beragama itu dahulu sebelum kita bercerita lanjut tentang partai dan politik. Sebagai contohnya, persoalan yang ditimbulkan oleh Tuan Haji itu samalah dengan persoalan yang ditanya oleh seorang budak berusia 6 tahun kepada ayahnya, "Ayah, kenapa hujan turun?" Ayahnya tidak boleh hanya menjawab, "hujan turun sebab awan dah gelap". Tentulah jawapan itu tidak menjawab persoalan sebenar. Jadi, ayahnya perlu menerangkan dari awal, bagaimana proses pemerewapan air dari bumi, seterusnya menjadi awan, dan bila proses merewap itu semakin banyak menyebabkan awan semakin berat dan mendung dan begitulah seterusnya.

Tuan Haji, mengapa kita diciptakan? Saya merasakan tentulah Tuan Haji akan menjawab, kita diciptakan untuk kita bersolat, berpuasa, pergi haji, menyembah Allah yang Esa. Kerana itulah tuntutan agama ke atas kita. Betul Tuan Haji, jawapan itu adalah betul. Tapi jawapan itu adalah jawapan seorang budak berusia 10 tahun bila ditanya oleh gurunya. Jawapan yang lebih tepat adalah kita diciptakan untuk kita mengabdikan diri kepada Allah kerana Allah itu Tuhan dan kita itu Hamba. Sifar seorang Hamba tentulah akan sentiasa tunduk kepada Tuannya. Jika, katakanlah, Tuhan tidak mewajibkan kita solat, adakah kita perlu berkata, "Fuhh, lega. Sekarang bolehlah aku main game sampai lewat pagi dan tak lagi perlu risau tak sempat bangun solat Subuh". Tidak? disebabkan kita hamba, walaupun katakanlah solat itu tidak wajib, tentulah kita tetap perlu sujud kepada Tuan kita yang menciptakan kita, sebagai tanda kita Hamba dan Engkau Ya Tuhan, adalah pencipta yang maha agung. Dan apabila Tuan menciptakan kita, Dia tidak menciptakan kita bodoh-bodoh (pronounce it as bodo-bodo) macam tu sahaja. Dia menciptakan kita dengan lengkap selengkap-lengkapnya untuk kita mengharungi hidup ini. Dia menciptakan tubuh kita dan dia juga menciptakan peraturan untuk kita, menciptakan sistem untuk kita, menciptakan cara (way of doing things) untuk kita. Dan tentulah sebagai tuan punya diri kita dan tuan punya dunia, Dia mempunyai seribu satu hak untuk menentukan haluan hidup makhluk ciptaanNya. Ada pula para orientalis yang sangat membenci Islam itu berhujah, jadi kalau semua sudah ditentukan Tuhan, apa gunanya Tuhan mencipta otak untuk menusia berfikir? Tak perlulah otak kerana semuanya telah tersedia, kita ikut saja lah. Dangkal sungguh pemikiran para orientalis ni. Tuhan telah meletakkan satu kerangka besar di mana kamu boleh beroperasi. Di dalam kerangka itu, berfikirlah kamu macamana untuk mengoptimakan sumber yang ada. Itu sahaja.

Jadi hiduplah kita beramai-ramai di dunia ni. Dalam ramai-ramai itu, tentulah ada manusia yang merasakan dirinya bijak lalu mencipta pelbagai sistem, ideologi, dan cara hidup yang pada masa itu dia merasakan sangat sesuai dengan kemajuan pada zaman itu. terdapat pelbagai ideologi yang muncul, semuanya nampak dek mata kita kerana ianya begitu berbeza dengan Islam. Komunis, Sosialis, dan pelbagai lagi isme yang ada. Bagi saya fahaman-fahaman ini semuanya tidak merbahaya. Tuan Haji tahu tak fahaman apa yang paling merbahaya? Sekularisme.

Sekularisme merbahaya kerana ia tidak menghalang kita untuk beragama, tidak seperti komunis. Sekularisme berkata,"solatlah seberapa banyak kamu nak solat, kami tak menghalang". Segala upcara Islam, dibenarkan dalam Sekularisme, malah dalam sesetengah hal, digalakkan lagi seperti berarak Maulidur Rasul, membina Masjid, dan berzanji, marhaban dan sebagainya. Kesemua amalan-amalan agama tidak dihalangnya, malah digalakkannya. Agama adalah akhirat dan ekonomi, politik, pendidikan, budaya, muzik adalah dunia. Jangan dicampur adukkan keduanya. Begitulah kata Sekularisme. Sekularisme, amat sesuai dengan agama Kristien atau Buddha. Ini adalah kerana agama Kristian, contohnya, tidak menghalang sesiapapun menjadi pemimpin asalkan dia dibenarkan ke gereja setiap pagi Ahad. Asalkan pemimpin itu seorang yang pintar dan bijak mentadbir. Dia hanya fikirkan dunia ini sahaja. Namun terdapat satu sahaja agama yang tidak mungkin selari dengan Sekularisme, ISLAM. Ini adalah kerana Islam mencampurkan dunia dan akhirat daam satu kerangka besar yang bernama agama. Agama tidak boleh dipisahkan dengan dunia. Soal kepimpinan, ekonomi, dan apa sahaja, adalah soal agama bagi Islam. Sekularisme berkata,"bagilah kepada kami untuk memimpin, kami tidak menghalang kamu untuk bersolat atau melakukan apa sahaja upcara agama. Malah akan kami bina masjid yang besar-besar untuk kamu. Kami akan memberi cuti pada hari Jumaat untuk kamu. Urusan dunia dan kepimpinan, serahkanlah kepada kami". Islam pula menjawab, "Kami tidak boleh menyerahkan urusan kepimpinan kepada kamu kerana Islam itu pemimpin. Macamana kami nak serahkan urusan kepimpinan kepada kamu sedangkan kepimpinan itu sebahagian daripada agama kami? Jikalau kami adalah Kristian yang tidak ada kaitan antara agama dan kepimpinan, kami tiada masalah untuk serahkan soal kepimpinan kepada kamu. Namun, agama kami berlainan dengan agama Kristian". Untuk menjawab persoalan asal Tuan Haji di atas, bagi saya bukannya PAS fanatik, tetapi PAS hanya menjalankan tanggungjawabnya untuk menduniakan Islam. Menjadikan Islam itu terlaksana, bukan sahaja di masjid dan surau tetapi juga di medan perniagaan dan pentadbiran negara.

Tuan Haji, apa yang PAS inginkan senang sahaja. Tukarkan perlembagaan UMNO kepada perlembagaan Islam sepenuhnya. Jika jam 12 tengah malam ini UMNO mengumumkan bertukar kepada perlembagaan Islam, jam 12.01 pagi PAS secara automatik akan dibubarkan. Dan pukul 12.02 pagi Ustaz Nik Aziz akan mengisi borang keahlian UMNO (ehh, silap. Jam 12.00 tengah malam UMNO umum tukar perlembagaan Islam, 12.01 pagi PAS bubar, 12.02 pagi Ustaz Nasha akan mengisi borang UMNO, 12.03 pagi Ustaz Nik Aziz isi borang UMNO, dan 12.04 saya lak yang isi borang UMNO). Apa yang susah sangat UMNO hendak berubah kepada Islam? Kenapa tidak boleh? PAS hanyalah orang-orang yang ikhlas mahukan Islam, besar sangatkah dosa penyokong-penyokong PAS ni? Mereka bukannya mahukan projek, duit, pangkat atau apa, mereka hanya mahukan Islam. Itu sahaja, noktah. UMNO tidak perlu bazirkan duit satu senpun kepada penyokong PAS, cukup dengan bubarkan dasar mereka, kesemua penyokong PAS akan masuk UMNO. Kalau betul susah dan tidak boleh, bagitau penyokong PAS di mana susahnya, di mana tidak bolehnya, kita bincang sama-sama. Asalkan UMNO ikhlas nakkan Islam, tiada lagi permusuhan di kalangan orang melayu (itulah yang dikehendakkan oleh UMNO selama ni pun, tiada permusuhan dikalangan orang melayu).

Rushdan - Fuhh, memang kaw la teh tarik pak amjal nie.
Tuan Haji Zul - Dik! (waiter), tambah secawan lagi.

Sunday, March 14, 2010

Tuan Haji Zul

Salam,

Tulisan saya kali ini agak panjang, saya amat berharap para pembaca yang budiman dapat bersabar dengan tulisan saya ini dan dapat membaca dengan tenang hingga ke akhir. Terima kasih.

Saya mempunyai seorang teman yang tinggal di hujung kota sana yang telah membaca blog saya. Nama beliau adalah Tuan Haji Zul. Di sini saya ingin titipkan kembali pendapat beliau setelah membaca tulisan-tulisan saya di blog ini.

"Rushdan, jangan ingat orang PAS saje yang sayangkan Islam. UMNO pun sayangkan Islam juga, cuma kami taklah fanatik macam geng-geng PAS tu, memekik memekak bertakbir macam tok-tok guru kamu tu. Jangan ingat bila kami tak bertakbir, kami "kurang Islam" dari kamu. Saya, seorang ahli UMNO, pun tak pernah tinggalkan solat, solat tahajud tengah malam, Dah dua kali pergi Haji, Umrah? Memang dua tahun sekali saya akan menunaikan Umrah. Tapi tak pula saya cakap berdegar-degar macam tok guru kamu tu, seolah-olah dia aje yang Islam kat Malaysia nie.

Lagi satu, nie...pasal Hudud nie, tu je lah modal kamu. Nampak sangat nak menjual agama untuk dapat sokongan. Sembang bolehla, cuba korang yang perintah Malaysia. Ingat senang ke? Saya nak tanya kamu, tak Islam lagi ke kita ni? Kita dah ada Ekonomi Islam, Universiti Islam, dan pelbagai lagi inisiatif kerajaan untuk mendaulatkan Islam. Masjid? dah berlambak-lambak dah. siap ade aircond lagi! Tak Islam lagi ke? Korang nak kita jadi macam Taliban tu ke baru nak dinamakan Islam? Sempitnya pemikiran puak-puak PAS nie.

Satu lagi pasal negara Islam. Korang bercakap seolah-olah negara Islam ni boleh selesaikan semua masalah manusia. Seolah-olah negara Islam ini ubat mujarab yang kalau kita pakai, semua masalah kita akan selesai. Kalau hari ni kita laksanakan negara Islam (hudud, etc.), esok dah takde mat-mat rempit, dah takde bohsia, smeua orang sekelip mata jadi kaya, dah takde orang miskin. Macam tu ke kamu ingat? Senangnya, kamu ingat semudah tu ye nak tadbir sebuah negara? Bukan semuda tu dik. Tengok, sekarang ni punKelantan yang kononnya "negeri Islam, Bandaraya Islam" tu, kes rogol paling tinggi dalam negara, kes cerai berai antara tertinggi. Camana lak tu? Kata Islam sangat...aduhai budak-budak PAS ni.

Haaa....ni bila saya cakap camni, nanti ada pula orang-orang PAS yang keluarkan fatwa saya dah terkeluar dari Islam (sambil tergelak sinis). Maklumla, PAS kan suka kafirkan orang lain yang tak sehaluan dengan dia, hehe.

Saya rasa pendekatan yang dibuat oleh UMNO sekarang ni, pendekatan terbaik. Dah elok sangat dah, tak perlu nak tukar-tukar lagi dah. Disebabkan UMNOlah ekonomi negara kita melanjak tinggi seperti sekarang dan tengok apa kata dunia kat kita - Malaysia adalah negara Islam contoh! Secara automatik, Islam itu dijulang tinggi, dipandang mulia.

Dalam isu Palestin pulak, sape yang mempelopori kempen pembebasan Palestin diperingkat antarabangsa? Tak lain tak bukan - UMNO, melalui Tun Dr. Mahathir. Dah berpuluh forum kita buat di peringkat antarabangsa untuk kempen membebaskan Palestin. Kesannya, negara kita diiktiraf dunia Islam sebagai negara rakan Palestin. PAS? Apa yang PAS dah buat? Bercakap je lebih kat ceramah, hasil? Tarak....

Apa yang nak saya cakapkan, saya pun sayangkan Islam, tak kurang sikitpun dari tok-tok guru kamu tu, malah mungkin lebih lagi kot. Tapi kami, orang-orang UMNO taklah sampai nak gunakan Islam untuk kepentingan politik. Saya faham, ni semua politik punya pasal. Demi nakkan kuasa, Tok Guru Nik Aziz sanggup gadaikan agama untuk duduk kerusi empuk Menteri Besar Kelantan. Dah sakit-sakit pun taknak jugak lepaskan jawatan. Dia ingat jawatan tu boleh bawa dalam kubur ke?

Dahla Rushdan, politik, politik jugak. Sekarang jom kita pekena teh tarik kat Restoran Amjal".

Rushdan - "Haaa bagus jugak tu bang. Jom!

Tuesday, March 9, 2010

Kelantan Adalah Negeri Mundur, Kata Gerakan Nasionalis Kebangsaan

Salam,

Kelantan yang diperintah oleh partai gerakan Islam adalah salah sebuah negeri termundur di Malaysia, begitulah tuduhan partai UMNO. Maka, diterbitkanlah statistik jumlah pelaburan bagi Negeri Kelantan, jumlah rakyat Kelantan yang berhijrah ke bandar-bandar besar, statistik KDNK dan pelbagai statistik lagi untuk menyokong hujah para pendokong ideologi nasionalis kebangsaan ini yang percaya bahawa Islam itu rituals dan bukannya ad-deen itu.

Nak tahu tak, jawapan saya terhadap tuduhan itu ringkas sahaj, BETUL. Ya, statistik itu adalah tepat dan benar. Kelantan yang diperintah oleh sebuah gerakan Islam memang merupakan salah sebuah negeri termiskin di Malaysia (saya tidak pasti samada yang paling miskin atau tidak). Sekarang marilah kita sama-sama bincangkan tentang sebab-sebab mengapa negeri ini merupakan negeri termiskin. Jom!

Yang mempelopori tuduhan Kelantan adalah negeri termiskin pada saya adalah dua tokoh partai UMNO di Kelantan, iaitu Y. Bhg. Dato' Mustapha Mohamad (graduan kelas pertama bidang ekonomi dari universiti Melbourne dan Boston yang ternama) dan Y. Bhg. Dato' Dr Awang Adek (Graduan Ekonomi dari Wharton Business School yang tersohor itu-saya selalu tergelak setiap kali Dato' speaking english sebab english dia cam pelat Kelantan, hehe). Kedua-duanya adalah pakar ekonomi yang bukan calang-calang ilmunya. Kelantan pula diketuai oleh Y. Bhg. Dato' Ustaz Nik Aziz, seorang lepasan dari universiti Deoband, India dan kemudiannya Universiti Al-Azhar yang tersohor. Dan kita semua mengetahui bahawa pentadbiran Kelantan dipelopori oleh kebanyakannya para ustaz lepasan universiti Timur tengah, tempatan, mahupun pondok di serata Kelantan. Dan sudah tentulah degree yang diperolehi para ustaz ini adalah di dalam bidang agama, bahasa arab, dan paling terer pun undang-undang Islam. Jadi, jika begitulah keadaannya, apalah yang kita boleh harapkan kepada para ustaz ini di dalam memerintah? Mereka bukannya terdedah dengan ilmu-ilmu pengurusan moden, teori management, atau formula-formula kewangan yang kompleks. Jadi apa yang anda berdua harapkan daripada para ustaz ini? Adakah Y. Bhg. Dato' harapkan para ustaz ini memacu ekonomi Negeri Kelantan setara dengan Negeri Pulau Pinang (diketuai oleh seorang pakar ekonomi graduan dari Monash University)? Selangor (Diketuai oleh pemegang MBA dari Queensland University)?

Di saat parti gerakan Islam bergelut dengan isu ekonomi di mana kamu wahai pakar-pakar ekonomi? Si ustaz ini bergelut seorang diri dalam menyelamat ekonomi negeri yang selama ini (semasa diperintah UMNO) pun bukannya maju mana pun. Di mana kamu? Kamu seorang muslim yang berdegar-degar berkata sayangkan nama Allah sehingga sanggup berdemonstrasi memekik memekak mempertahankan nama Allah, di saat gerakan islam bergelut dengan masalah ekonomi negeri, di mana kamu? Izinkanlah saya menjawab soalan ini....

Kamu diseberang sana wahai pakar ekonomi. Kamu berada di seberang sana, sedang galak mentertawakan para ustaz ini (yang tidak tahu satu apapun tentang ilmu ekonomi) yang bergelut bagai nak giler cuba menyelamatkan ekonomi negeri. Kamu seolah-oleh bergembira melihat parti gerakan Islam menghadapi masalah. Kamu sedar tak apa yang kamu tertawakan itu? Kamu sedang mentertawakan sebuah gerakan Islam yang cuba sedaya mungkin untuk memartabatkan Islam di negara kamu ini. Buruk sungguh perlakuan kamu ini.

Sebab itu saya selalu nasihatkan adik-adik yang mempunyai rasa cinta terhadap agama agar kalau boleh ambillah degree dalam bidang ilmu sekular kerana kita sudah lama tertinggal sampan di belakang negara-negara maju. Jangan kita sibuk nak sambung degree dalam bidang agam sehinggakan kita biarkan pencinta ideologi sekular yang sibuk menyambung degree dan masters di dalam ilmu kewangan moden dan ekonomi. Terutamanya kepada adik-adik yang pintar, mohonlah untuk mengambil degree dalam ilmu dunia, kalau boleh di universiti-universiti terkemuka dunia. Dan selepas itu, gunakanlah ilmu itu untuk menjadikan Islam itu ulung, sesuai dengan sifatnya yang ulung.

Thursday, March 4, 2010

Mengapa PAS Mengatakan UMNO Menyimpang Dari Agama (Pula)

Salam,

Seperti biasa, izinkanlah saya untuk berlaku adil dengan menulis pula kenapa PAS mengatakan partai UMNO adalah menyimpang dari kebenaran.

Secara kesimpulannya, tuduhan PAS terhadap UMNO boleh dilihat dari Amanat Haji Hadi yang heboh beberapa ketika dulu. Dalam amanatnya itu, ustaz Hadi tidakpun menyebut UMNO atau sesiapapun, cuma ustaz mengatakan mana-mana orang yang percaya, beriman, dan beriktikad bahawa ada kuasa lain selain dari Allah yang boleh memberi rezeki, mudarat, manfaat, menjaga periuk nasi, maka orang itu adalah terkeluar dari Islam. Bagi saya, di dalam partai UMNO terdapat dua jenis manusia. Pertama adalah manusia yang memasuki partai itu kerana dunia. Maknanya dia masuk UMNO sebab nakkan projek, nak pangkat dan sebagainya dan kebanyakan manusia sebegini adalah golongan-golongan muda di dalam UMNO. Mereka berkata, "Ala bang, saya tahu UMNO ni bukannya nak perjuangkan agama, tapi kita cari makan je bang, senang dapat projek". Manusia kedua adalah manusia yang ikhlas berjuang untuk bangsanya. Mereka ini beriktikad bahawa perjuangan bangsa adalah perjuangan utama di dalam hidupnya. Hidup dan matiku hanyalah untuk melayu. Dia bukannya nakkan duit, pangkat atau apa-apa habuan dunia. Apa yang dihajatinya adalah kegemilangan bangsanya. Manusia sebegini biasanya adalah yang agak berumur di dalam UMNO. Manusia kedua inilah yang merbahaya kerana dia beriman bahawa UMNO lah, dan hanya senya UMNO sahaja yang boleh memajukan kaum Melayu. Kalau tidak ada UMNO, bangsa Melayu semuanya hancur. Merbahaya betul pegangan mereka ini.

Bagi PAS, Islam bukanlah suci sebagaimana yang difahami oleh UMNO. Ya, PAS memang menganggap Islam itu suci, namun PAS lebih suka mentakrifkan Islam sebagai rahmat berbanding suci. Suci itu membawa maksud bukan semua orang boleh memegangnya, dan hanya orang-orang tertentu boleh bercakap tentangnya. Rahmat pula mempunyai konotasi yang berlainan. Rahmat membawa maksud semua orang akan mendapat manfaat. Hatta penganggur pun boleh merasai rahmatnya. Semua orang boleh memegangnya. Semua orang boleh bercakap tentangnya, walaupun dia non-muslim. PAS menganggap Islam itu ad-deen (cara hidup) bukannya religion (agama semata-mata). Oleh sebab ianya cara hidup maka tentunya ia perlu di bawa kemana-mana sahaja - pejabat, toilet, lif, jentera pentadbiran, organisasi, undang-undang, perlembagaan dan konsep bernegara. Suci Islam adalah bila ia boleh dipraktikkan, bukannya suci Islam bila ia hanya terperuk di dalam masjid.

Bagi tuduhan PAS menggunakan Islam untuk politik, bagi saya, ya, benar. PAS memang menggunakan Islam untuk politik. Dan ianya sama dengan perjuangan Nabi. Nabi juga membawa sentimen agama untuk meraih sokongan (politik) arab pada masa itu. PAS adalah sebuah gerakan Islam yang percaya bahawa sunnah Nabi itu bukannya sesuatu yang terjadi begitu sahaja, tetapi ianya terjadi untuk diikuti oleh gerakan-gerakan Islam. Perjanjian dengan golongan bukan Islam, penghijrahan, konfrontasi, malah peperangan, semuanya perlu kita kutip dan tiru apa hikmah dia. Keraana salah satu hikmah kenapa Tuhan turunkan Nabi itu sebagai seorang manusia (seperti kita) dan bukannya malaikat adalah supaya kita semua, umat dia, boleh tiru apa sahaja perbuatan, keputusan, tindakan, dan cara dia. Jadi menggunakan agama untuk politik, dibenarkan, dengan syarat kita menggunakan agama untuk politik dengan tujuan untuk mendaulatkan Islam itu jika kita menang.

UMNO adalah menyimpang, bagi PAS kerana di dunia ini hanya satu ideologi sahaja, satu isme sahaja yang diterima Tuhan, iaitu Islam. Jika kita menggunakan isme selain dari Islam (termasuk isme nasionalisme), ianya tidak diterima Tuhan. UMNO beragama Islam, namun ideologi yang dianutinya adalah ideologi sekularisme, yang memisah-misahkan agama, sebijik seperti yang disarankan oleh para orientalis yang sangat memusuhi dan sangat membenci Islam.

Oleh itu, kita semua perlu menerima Islam sebagai cara hidup yang syumul, termasuk dalam soal politik. Bestnya jika semua parti yang bertanding di dalam pilihanraya semuanya adalah parti Islam, dan kita semua, para pengundi bolehlah memilih parti yang cekap, bukan lagi perlu memilih parti mana gerakan Islam.

Mengapa UMNO Mengatakan PAS Menyimpang Dari Agama

Salam,

UMNO mengatakan PAS adalah parti menyimpang dari Islam dan tidak diredhai Tuhan adalah kerana sebab yang kukuh bagi mereka. Bagi saya, pendokong nasionalis kebangsaan mempunyai pemahaman terhadap agama yang berbeza daripada pendokong gerakan Islam. Tuduhan mereka bahawa partai PAS adalah sesat bukanlah tuduhan yang dibuat-buat atau direka-reka untuk kepentingan politik, malah tuduhan tersebut adalah satu tuduhan yang ikhlas berdasarkan pemahaman mereka tentang agama. Jadi, apakah pemahaman mereka tentang agama sebenarnya? Jom, mari kinta bincangkan.

UMNO menganggap Islam adalah satu agama, atau "religion". Bagi UMNO, Islam adalah rituals atau amalan-amalan berbentuk keagamaan yang perlu diserahkan kepada mereka yang pakar tentangnya. "Kami adalah pemerintah, kami bukan ahli dalam bidang agama (mandikan mayat, solat hajat, cukur rambut anak kecil, etc...). Jadi, serahkanlah urusan agama kepada para ustaz dan tok guru kerana mereka lebih mengetahui. Sebagai timbal baliknya, serahkanlah urusan pentadbiran kepada kami kerana kami lebih ahli dalam memerintah kerana kami adalah graduan lepasan Harvard, LSE, Wharton, Tuck, Sloan, etc.

Bagi UMNO agama adalah suci, terlalu suci. Islam itu eksklusif, sesuatu yang tidak boleh disentuh dan dipermain-mainkan. Disebabkan kesucian Islam itu, menurut mereka, Islam hanya layak ditempatkan di tempat yang paling suci juga, iaitu masjid-masjid dan surau-surau. Begitulah pemahaman mereka. Islam itu bukan tempatnya di dalam pejabat-pejabat, bukan di dalam rumah-rumah, tempat-tempat awam, shopping complex, Stadium Bukit Jalil, Sri Pentas, Putrajaya, dan bukan juga boleh dibawa ke medan-medan ceramah seperti yang di bawa oleh partai PAS. Islam terlalu suci untuk dibawa keluar daripada masjid. Sebab itu, para pendokong ideologi nasionalis kebangsaan ini terlalu mengagungkan para ustaz. Bagi mereka, apa sahaja yang dilakukan oleh para agamawan ini (termasuk ustaz, tok guru, dukun Islam, bomoh Islam-ditakrifkan sebagai agamawan oleh UMNO) di dalam upacara agama, diterima bulat-bulat oleh UMNO sedangkan Islam melarang kita taksub buta kepada sesiapa pun, kecuali Nabi kita. Segala-galanya di dalam Islam disuluh dengan ilmu. Tiada taksub di dalam agama.

PAS, bagi UMNO adalah sama sahaja dengan UMNO. Pendokong ideologi nasionalis kebangsaan mengatakan, "PAS dengan kami sama sahaja. UMNO menggunakan sentimen kaum untuk meraih undi, PAS juga sama, cuma PAS menggunakan sentimen agama untuk meraih undi. Kedua-duanya sama cuma sentimen yang digunakan adalah berlainan". Kenyataan seperti ini keluar kerana mereka menganggap agama adalah terlalu suci, tersangat suci. Agama untuk agama, urusan dunia untuk urusan dunia. Politik itu politik dan agama itu agama. Mana boleh agama dicampur-adukkan dengan politik, Islam itu terlalu suci untuk dipolitikkan. Begitulah pandangan UMNO. Dan oleh sebab itu, mereka melabel PAS berdosa besar kerana mencemarkan agama!

Terdapat satu lagi faktor kenapa UMNO menyatakan PAS itu parti menyimpang yang menggunakan agama untuk kepentingan politik - Kelantan. Gerakan Islam ditakdirkan Tuhan bermula dan berakar kuat di Kelantan. Dan memang nature orang Kelantan bersifat keras, kuat dalam bermusuh, tebal semangat kekitaan, dicampur pula dengan bahasa yang sama sekali berlainan dengan bahasa baku. Jadi pendokong-pendokong UMNO melihat PAS itu keras, kuat bermusuh, dan kekampungan dalam berpolitik. Memang, itu kenyataan, saya akui. Terdapat beberapa sifat yang tidak molek pada orang Kelantan yang turut terbawa-terbawa dalam Gerakan Islam yang dimonopolinya. Ini menyebabkan gerakan Islam itu dipandang rendah dan dipandang serong oleh pendokong-pendokong UMNO yang nampak hemahnya tinggi, beradab dan dimonopoli pula oleh orang-orang Johor yang kebanyakannya berpelajaran tinggi dan decent gentlemen semuanya. Saya pernah terfikir, kalaulah Islam ini ditakdirkan kuat di Johor dan bukannya di Kelantan, dah lama gerakan Islam akan memerintah negara ini. Dah lama UMNO terkubur kalau gerakan Islam kuat dan asalnya dimonopoli oleh orang-orang Johor, dan bukannya di Kelantan. Namun, apa boleh buat, sudah ditakdirkan Tuhan memilih Kelantan.