Sunday, March 28, 2010

Salah Faham Terhadap Islam dan Salah Faham Terhadap Gerakan Nasionalis

Salam,

Baru-baru ini terdapat adik-adik yang membaca blog saya dan berkata pada teman-temannya yang turut membaca blog saya, "Abang nie kuat PAS tau, korang elok-elok tau bila sembang ngn dia. Jangan dok loklak (pelat bahasa Kedah). Haaa....ko ni lak (teman dia yang sorang lagi), pakai tudung tau bila jumpa dia".

Saya tersenyum sendirian mendengar "remark" adik saya yang seorang ini. Saya kira adik tersebut mengaitkan PAS dengan Islam bila beliau berkata demikian. Daripada kenyataan adik saya ini, ada dua kesimpulan yang boleh saya buat tentang salahfaham umatnya sendiri tentang agama Islam.

1. Salah faham pertama adalah menyangka Islam adalah agama yang perlu kita rasa "malu" bila kita berhadapan dengannya. Kita kena berpakaian sopan, tidak menonjolkan diri sendiri kerana perlu menjaga tingkah laku, sopan, dan jaga kata-kata, fe'el perangai. Ini adalah perangai orang melayu tahun 1970an dan 1980an yang kita perlu buang jauh-jauh. Bila dengar sahaja perkataan "Islam", maka terbayanglah seorang gadis bertudung labuh, tidak mendengar muzik sepanjang hidup dia, tidak bergelak ketaqwa kerana kononnya menjaga tingkah laku, bekerja sebagai seorang ustazah di sekolah agama dan bergraduasi dari Universiti Malaya jurusan Pengajian Islam. Marilah sama-sama kita buang jauh-jauh gambaran Islam yang satu ini. Gambaran ini sebenarnya telah meracuni pemikiran kita sebegitu lama dan telah diracunkan kepada kita oleh para orientalis Inggeris semasa mereka menjajah kita dulu. Ini adalah pemikiran zaman penjajah yang kolot, lapuk, ketinggalan sampan, dan bodoh. Para orientalis ini mahu, apabila disebut Islam, maka konsert adalah haram, fesyen adalah haram, muzik adalah haram, bola sepak adalah haram. Mereka mahukan apabila kita berfikir tentang Islam, kita akan terbayangkan masyarakat Taliban di Afghanistan yang memakai semutar, setiap muslim diwajibkan menyimpan janggut dan setiap muslimah diwajibkan memakai burga, purdah. Tiada fesyen. tiada kehidupan, tiada kreativiti.

Umat Islam sebenar adalah apabila sahaja disebut tentang Islam atau gerakan Islam, maka terbayanglah kita seorang anak muda bergraduasi dari LSE, bertali leher dan berkot dan bekerja sebagai financial controller di syarikat Fortune 500. Marilah kita tunjukkan kepada para pendokong gerakan nasionalis di Algeria, Sudan, Indonesia, Malaysia, dan di mana-mana pun, bahawa Islam juga boleh!

Pada masa yang sama, para pendokong gerakan Islam henfaklah memandang tinggi dan mulia pemegang gelaran "ustaz", pakaian jubah, serban dan kopiah. Para pendokong gerakan nasionalis kebangsaan tentunya menganggap pakaian seperti ini adalah kolot, kampung, Kelantan, fanatik, teroris dan pelbagai terma negatif lagi tanpa menyedari inilah pakaian nabi mereka. Para pendokong gerakan nasionalis kebangsaan ini akan berkata, "Jangan ingat mereka yang berserban dan berjubah itu Islam. Apa yang ada pada pakaian? Saya pun boleh pakai ketayap jika saya mahu, tapi saya melihat pada kesesuaian untuk memakainya mengikut tempat. Jika ke Parlimen, saya memakai kot dan tali leher, jika ke masjid, saya memakai ketayap. Saya tidak memakai ketayap ke Parlimen bukan bermakna saya kurang Islam dari orang itu (sambil menunjuk ke arah gambar ustaz Hadi". Begitulah kata mereka. Daripada kenyataan mereka itu, dapatlah kita ukur setakat mana cinta mereka terhadap Nabi, setakat mana ikhlas mereka terhadap Islam. Betapa mereka amat gemar memisah-misahkan agama. Memisah-misahkan agama amat cocok dan sesuai dengan hati mereka. Mereka suka memperlekeh-lekehkan pakaian Nabi. "Apa ada pada pakaian?", kata mereka. Ini sebenarnya adalah perkataan yang diucapkan oleh para orientalis yang sangat memusuhi Islam.

2. Salah faham yang kedua adalah salah faham pendokong gerakan Islam terhadap partai UMNO. Saya mahu bertanya kepada para pendokong gerakan Islam di Malaysia, mengapa kita perlu menentang dan bermusuh dengan UMNO, sebuah parti yang didokong oleh mereka yang sebangsa dengan kita, sedarah sedaging dengan kita, berbahasa yang sama dengan kita, dan seagama dengan kita? Mengapa kita bermusuh dengan mereka? Bagi saya, para pendokong gerakan Islam tidak bermusuh dengan sebuah parti politik yang bernama U.M.N.O. Tidak!. Kita juga tidak bermusuh dengan Tuan Haji Zul, Y. Bhg. Dato' Seri Najib dan Y. Bhg. Tun Mahathir. Kita tidak bermusuh dengan mereka kerana mereka asalnya orang Johor, atau kerana mereka berbicara dalam bahasa Inggeris atau kerana mereka berbaju kot dan bertali leher. Kita tidak bermusuh dengan UMNO. Habis tu apa yang kita memusuhi?

Para pendokong gerakan Islam sebenarnya memusuhi ideologi sekularisme yang dianuti oleh pendokong parti UMNO itu. Ideologi. Kita bermusuh dengan ideologinya, bukan orangnya. Kita semua orang-orang Islam (tidak kira PAS atau UMNO) perlu, dengan sepenuh hati, membenci, melaknat, menyumpah, dan menolak ideologi sekularisme ini. Bagi mereka yang menganuti ideologi sekularisme dan pada masa yang sama mengaku beragama Islam seperti Tuan Haji Zul, tugas kita saudara seislam hendaklahmendoakan mereka supaya dibuka mata hati merekamenerima Islam yang syumul, Islam seperti yang kesemua kita para pendokong gerakan Islam kenal. Dan kita hendaklah bersabar dengan tohmahan, pulauan, hinaan mereka kerana mereka adalah orang-orang yang tidak mengetahui. Kita bersabar begini kerana mereka adalah orang-orang yang seagama dengan kita, saudara kita semua.

Janganlah kita bersikap seperti esetengah pendokong gerakan Islam dari Kelantan yang memusuhi ideologi sekularisme ini tetapi pada masa yang sama turut memusuhi batang tubuh orang itu. Ini adalah sikap yang salah dalam dakwah. Kita perlu memusihi ideologi Tuan Haji Zul, tetapi perlu menyayangi batang tubuh Tuan Haji Zul dengan mendoakan kebaikannya. Inilah yang selalu diajarkan oleh Nabi, agama itu nasihat. Di arena politik berdemokrasi pula, untuk menunjukkan permusuhan kita dengan ideologi sekularisme ini, para pendokong gerakan Islam tahun-tahun 1940an dan 1950an (ustaz-ustaz dan tok-tok guru pondok pada masa itu)telah menubuhkan sebuah parti politik berteraskan Islam bernama PAS yang kita kenali hari ini, sama seperti parti Ikhwanul muslimin, Refah, dan Hamas, Masyumi dan lain-lain lagi.

Kita gunakan Partai PAS ini untuk bermusuh dengan ideologi sekularisme anutan partai UMNO. Akhir kata, marilah wahai pendokong partai UMNO, marilah sama-sama kita membenci, memusuhi, mendendami, dan menolak ideologi sekularisme. Sekularisme, musuh utama Islam di abad ini. Ingatakan ini ikhlas dari Saudaramu, Hamba kepadaNya.

No comments:

Post a Comment