Thursday, March 4, 2010

Mengapa PAS Mengatakan UMNO Menyimpang Dari Agama (Pula)

Salam,

Seperti biasa, izinkanlah saya untuk berlaku adil dengan menulis pula kenapa PAS mengatakan partai UMNO adalah menyimpang dari kebenaran.

Secara kesimpulannya, tuduhan PAS terhadap UMNO boleh dilihat dari Amanat Haji Hadi yang heboh beberapa ketika dulu. Dalam amanatnya itu, ustaz Hadi tidakpun menyebut UMNO atau sesiapapun, cuma ustaz mengatakan mana-mana orang yang percaya, beriman, dan beriktikad bahawa ada kuasa lain selain dari Allah yang boleh memberi rezeki, mudarat, manfaat, menjaga periuk nasi, maka orang itu adalah terkeluar dari Islam. Bagi saya, di dalam partai UMNO terdapat dua jenis manusia. Pertama adalah manusia yang memasuki partai itu kerana dunia. Maknanya dia masuk UMNO sebab nakkan projek, nak pangkat dan sebagainya dan kebanyakan manusia sebegini adalah golongan-golongan muda di dalam UMNO. Mereka berkata, "Ala bang, saya tahu UMNO ni bukannya nak perjuangkan agama, tapi kita cari makan je bang, senang dapat projek". Manusia kedua adalah manusia yang ikhlas berjuang untuk bangsanya. Mereka ini beriktikad bahawa perjuangan bangsa adalah perjuangan utama di dalam hidupnya. Hidup dan matiku hanyalah untuk melayu. Dia bukannya nakkan duit, pangkat atau apa-apa habuan dunia. Apa yang dihajatinya adalah kegemilangan bangsanya. Manusia sebegini biasanya adalah yang agak berumur di dalam UMNO. Manusia kedua inilah yang merbahaya kerana dia beriman bahawa UMNO lah, dan hanya senya UMNO sahaja yang boleh memajukan kaum Melayu. Kalau tidak ada UMNO, bangsa Melayu semuanya hancur. Merbahaya betul pegangan mereka ini.

Bagi PAS, Islam bukanlah suci sebagaimana yang difahami oleh UMNO. Ya, PAS memang menganggap Islam itu suci, namun PAS lebih suka mentakrifkan Islam sebagai rahmat berbanding suci. Suci itu membawa maksud bukan semua orang boleh memegangnya, dan hanya orang-orang tertentu boleh bercakap tentangnya. Rahmat pula mempunyai konotasi yang berlainan. Rahmat membawa maksud semua orang akan mendapat manfaat. Hatta penganggur pun boleh merasai rahmatnya. Semua orang boleh memegangnya. Semua orang boleh bercakap tentangnya, walaupun dia non-muslim. PAS menganggap Islam itu ad-deen (cara hidup) bukannya religion (agama semata-mata). Oleh sebab ianya cara hidup maka tentunya ia perlu di bawa kemana-mana sahaja - pejabat, toilet, lif, jentera pentadbiran, organisasi, undang-undang, perlembagaan dan konsep bernegara. Suci Islam adalah bila ia boleh dipraktikkan, bukannya suci Islam bila ia hanya terperuk di dalam masjid.

Bagi tuduhan PAS menggunakan Islam untuk politik, bagi saya, ya, benar. PAS memang menggunakan Islam untuk politik. Dan ianya sama dengan perjuangan Nabi. Nabi juga membawa sentimen agama untuk meraih sokongan (politik) arab pada masa itu. PAS adalah sebuah gerakan Islam yang percaya bahawa sunnah Nabi itu bukannya sesuatu yang terjadi begitu sahaja, tetapi ianya terjadi untuk diikuti oleh gerakan-gerakan Islam. Perjanjian dengan golongan bukan Islam, penghijrahan, konfrontasi, malah peperangan, semuanya perlu kita kutip dan tiru apa hikmah dia. Keraana salah satu hikmah kenapa Tuhan turunkan Nabi itu sebagai seorang manusia (seperti kita) dan bukannya malaikat adalah supaya kita semua, umat dia, boleh tiru apa sahaja perbuatan, keputusan, tindakan, dan cara dia. Jadi menggunakan agama untuk politik, dibenarkan, dengan syarat kita menggunakan agama untuk politik dengan tujuan untuk mendaulatkan Islam itu jika kita menang.

UMNO adalah menyimpang, bagi PAS kerana di dunia ini hanya satu ideologi sahaja, satu isme sahaja yang diterima Tuhan, iaitu Islam. Jika kita menggunakan isme selain dari Islam (termasuk isme nasionalisme), ianya tidak diterima Tuhan. UMNO beragama Islam, namun ideologi yang dianutinya adalah ideologi sekularisme, yang memisah-misahkan agama, sebijik seperti yang disarankan oleh para orientalis yang sangat memusuhi dan sangat membenci Islam.

Oleh itu, kita semua perlu menerima Islam sebagai cara hidup yang syumul, termasuk dalam soal politik. Bestnya jika semua parti yang bertanding di dalam pilihanraya semuanya adalah parti Islam, dan kita semua, para pengundi bolehlah memilih parti yang cekap, bukan lagi perlu memilih parti mana gerakan Islam.

No comments:

Post a Comment