Tuesday, April 10, 2012

Cara Hidup Islam (Keempat)

Jawapan Kepada Hujjah Kedua Y. Bhg. Tun Mahathir

Sahabat-sahabat sekalian,
Hujjah kedua Y. Bhg. Tun adalah lebih kuat berbanding hujjah pertama beliau. Hujjah kedua beliau saya ringkaskan berbunyi "Malaysia telahpun menjadu sebuah Negara Islam. Malaysia dah ada Sistem Pendidikan Islam, Sistem Perundangan Islam (undang-undang syariah), Sistem hiburan Islam, dan kesemua sistem-sistem hidup di bawah acuan Islam".

Ada dua konsep di sini yang perlu kita fahami untuk menjawab hujjah kedua Y. Bhg. Tun tersebut. Pertama konsep "Syumul" dan kedua adalah konsep "Wasatiyyah".

Apa maksud syumul? Syumul bermaksud komprehensif, menyeluruh, berintegrasi, dan UTAMA. Perhatikan perkataan UTAMA yang saya caps lock kan di atas. Utama di sini membawa maksud sistem tersebut adalah sistem perdana, mala ianya adalah satu-satunya sistem yang digunapakai. Utama di sini tidak bermaksud "Nak secularism pun kita ada, atau nak alternatif sistem islam pun kita ada. Pilihlah yang mana awak suka, mana-mana pun takapa...jawablah sendiri di hadapan Allah". Tidak! Utama di sini bermaksud, cara hidup di sesebuah negara itu hanya mengandungi sistem hidup acuan Islam sahaja, takde sistem hidup yang lain (kecuali untuk kegunaan golongan non-muslim). Itu pertama.

Keduanya adalah konsep wasatiyyah. Apa maksud wasatiyyah. dari segi perkataan, wasatiyyah bermaksud di tengah-tengah. Ia juga membawa maksud bersederhana, tidak keterlaluan. Konsep wasatiyyah ini sebenarnya telah lama disalahgunakan oleh golongan nasionalis untuk menghalalkan yang haram di sisi Allah. Mereka berkata tak mengapa kita tolak Hudud kerana masyarakat belum bersedia, kita jangan keterlalauan dalam pendekatan kita, kita kena berwasatiyyah. Tak mengapa tak tutup aurat kerana kita tidak boleh memaksa, kita kena berwasatiyyah, tidak terlalu tegas dan tidak pula terlalu longgar. Percayalah wahai sahabat-sahabat sekalian, ini adalah pemahaman terhadap konsep wasatiyyah yang salah. Wasatiyyah tidak bermaksud tidak keterlaluan dalam mentaati perintah Allah. Kita semua kena bersifat keterlaluan dalam mentatati perintah Allah dengan sepenuh jiwa.

Saudara-saudara sekalian,
Malaysia adalah sbeuah negara nasionalis yang berteraskan fahaman sekularisme yang berkebetulan berugama Islam. Mereka menerima sistem ibadah Islam tapi memberikan pilihan (dalam sesetengah keadaan, menolak) sistem-sistem hidup yang lain. Mereka ini adalah nasionalis yang memerintah Islam. sedangkan Islam adalah ugama yang memerintah, bukan diperintah.

Monday, April 9, 2012

Cara Hidup Islam (Ketiga)

Jawapan Kepada Hujjah Pertama Y. Bhg. Tun Mahathir

Saudara-saudara semua,
Dulu, saya selalu dengar President George Bush Junior mewajarkan "war on terrorism" dengan berkata "Those Islamic terrorists want to replace our way of life with theirs". Lantas beliau mengagung-agungkan "cara hidup secularism" dengan menyatakan inilah cara hidup yang terbaik, cara hidup yang memberi peluang kepada semua manusia untuk maju, cara hidup yang progresif, yang memberi pulangan kepada yang berusaha dan tidak memberikan apa-apa kepada yang malas. AMericans sebenarnya masih lagi kebingungan, mengapa Islam (kononnya) menolak cara hidup secularisme barat yang sangat baik ini.

Saudara-saudara semua,
Saya sangat faham mengapa Y. Bhg. Tun menggunakan hujjah sebegitu. Beliau mahu mewajarkan cara hidup yang diamalkan oleh UMNO melalui ideologi nasionalisme kebangsaan sekarang dengan mengatakan "inilah cara hidup Islam yang sebenarnya".

Sebenarnya, mengenalpasti "cara hidup islam yang sebenar" tidaklah sukar kerana cara hidup ini telah diperincikan oleh ramai ulama'-ulama' berwibawa Islam, baik di zaman dahulu ataupun kontemporari. Menjawab soalan "adakah cara hidup yang diamalkan di bawah idelogi nasionalisme kebangsaan tajaan UMNO kini menepati cara hidup islam atau tidak?" tidaklah sukar kerana garis panduan yang diberi oleh ulama'-ulama' berwibawa adalah jelas dan terang. Hudud, sistem hiburan islam, sistem pendidikan islam, sistem eknomi islam - semua ini adalah jelas dan terang.

Masalah dengan Y. Bhg. Tun adalah beliau cuba menafikan kewibawaan ulama'-ulama' ini menafsirkan cara hidup Islam tadi. "Betulkah Hudud (cara hidup perundangan Islam) begitu seperti yang dinyatakan oleh Sayyid Qutb? Betulkah muamalah (cara hidup berekonomi Islam) begitu seperti yang diterangkan oleh Ibnu-Khaldun? Betulkah sistem hiburan Islam (cara hidup hiburan dalam Islam) begitu seperti yang diterangkan oleh Al-Ghazali? Betulkah sistem siasah (cara berpolitik dalam Islam) begitu seperti yang diterangkan oleh Al-Qardawi? Adakah mereka-mereka ini hidup sezaman dengan Nabi dan belajar sendiri dengan Nabi cara-cara hidup ini semua?" Begitulah bunyi soalan-soalan peringkat dasar yang ditanya oleh Y. Bhg. Tun.

Saudara-saudara semua,
Mengapa kedudukan ulama' dipandang tinggi dalam Islam? Ulama' diberi kedudukan yang sangat mulia dalam Islam kerana mereka memegang amanah Allah untuk berkata benar, untuk menyampaikan ajaran Tuhan. Mereka ini diberi kepercayaan oleh Tuhan untuk menyampaikan ugama. Kedudukan mereka tersangat penting kerana tiada seorang manusia pun akan tahu samada mereka berbohong atau tidak. Mereka boleh saja berkata "ini adalah arahan dari Tuhan, maka kamu semua kena ikut". Mereka berkuasa.

Kerana kedudukan mereka yang sangat berkuasa dalam mengaut kepercayaan umat itulah yang menyebabkan mereka ini diberi janji besar oleh Allah. Janji diberi pahaa besar jika amanah dan janji diberi seksa yang berat jika khianat.

Jika Y. Bhg. Tun ingin mencabar kewibawaan mereka-mereka ini semua, maka tiadalah balah antara kita berdua. Terpulanglah kepada Y. Bhg. Tun.

Cara Hidup Islam (Kedua)

Kamu semua,

Saya ingin menyambung tulisan pertama saya berkenaan "Cara Hidup Islam" sebelum ini. Cara hidup ini nampaknya dicabar, samada secara langsung atau tidak, oleh Y. Bhg. Tun Mahathir, bekas Perdana menteri Malaysia ke-empat.

Y. Bhg. Tun mempunyai 2 hujjah utama dalam sesi penghujahannya:

Pertama
Betulkah cara hidup islam itu begitu sepertimana yang diterangkan oleh sder? Adakah sder sendiri berada di zaman Rasulullah dan melihat sendiri cara hidup tersebut? Atau cara hidup yang diperjuangkan oleh sder itu hanyalah tafsiran sder sendiri yang tidak semestinya tepat sepertimana yang diajarkan oleh Rasulullah. Y. Bhg. Tun mengenali ajaran Rasulullah sebagai ajaran yang cukup berkompromi, bertoleransi, menolak paksaan, dan memerdekakan fungsi otak manusia, sementara sder mengenali ajaran Rasulullah sebagai satu ajaran yang wajib diikuti, tiada alternatif, patuh, dan taat.

Kedua
Hujjah kedua Y. Bhg. Tun adalah, jikapun sder berkata cara hidup Islam adalah mengikuti acuan Islam dalam segenap segi kehidupan, itulahpun yang ada di Malaysia ini! Kita dahpun menuruti Islam dalam segenap segi kehidupan. Y. Bhg. Tun berhujjah - Malaysia dah ada KAFA (Sistem Pendidikan Islam), Malaysia dah ada Raihan dan Rabbani (Sistem Hiburan Islam), Malaysia dah ada Undang-undang Syariah (Sistem Perundangan Islam), Malaysia dah ada Sistem Perbankan Islam (Sistem Ekonomi Islam). Kita dah pun Islam! Begitulah bunyi tegas hujjah kedua Y. Bhg. Tun.

Kamu semua,
Sebelum saya menjawab hujjah-hujjah Y. Bhg. Tun, izinkan saya memberikan sedikit latarbelakang berkenaan Islam yang saya kenali.

Pertamanya kita semua kena faham, apabila kita sebut "Islam" - itu tidak merujuk kepada solat dan puasa sahaja. Ini asas pemahaman kita. Islam adalah satu cara hidup. Islam adalah satu jenis sistem hidup. Nasionalisme Kebangsaan mempunyai sistem hidupnya menurut acuannya sendiri. Komunisme mempunyai sistem hidup menurut acuannya sendiri. Sekularisme mempunyai sistem hidup menurut acuannya sendiri. Dan Islam juga mempunyai sistem hidup menurut acuannya sendiri.

Jadi, kita kena faham bahawa apabila kita sebut "Islam", itu bermakna kita merujuk kepada "cara hidup Islam" yang merangkumi sistem beribadahnya (solat, haji, puasa), sistem hiburannya, sistem perundangannya (hudud), sistem pendidikannya, sistem sosialnya, dan seterusnya. Seseorang itu hanya boleh dicop sebagai muslim jika ia mengamalkan cara hidup islam. Faham? Ok, itu asasnya.

Jawapan saya untuk hujjah Y. Bhg. Tun akan saya nukilkan dalam posting saya yang seterusnya berdasarkan pemahaman asas bahawa Islam itu merupakan satu cara hidup dan bukannya hanya suatu ugama beritualkan acara-acara keugamaan semata-mata.

Cara Hidup Islam

Saudara-saudara sekalian,

Agak lama juga saya tidak menulis. terlalu sibuk dengan tugas harian yang senantiasa tidak berpenghujung. Apapun, saya terbaca tulisan oleh Y. Bhg. Tun Mahathir yang merupakan respons terhadap tulisan seorang pelajar Malaysia yang masih lagi belajar di Jordan kalau tidak salah saya.

Perbincangan mereka lebih banyak berkisar tentang Hudud, samada hukuman Hudud yang kita kenali kini benar-benar begitu hukumannya atau terdapat tafsiran yang salah oleh beberapa perawi hadis. Apakah Al-Quran sebenarnya memberikan kelonggaran-kelonggaran tertentu dan betulkah hadis-hadis mengenai hukuman Hudud yang nampaknya begitu keras, tegas, dan tanpa kompromi itu? Begitulah lebih kurang hujjah Y. Bhg. Tun Mahathir.

Pada saya, soalbagaimana rupa bentuk hukuman hudud itu hanyalah soal teknikal sahaja. Biarlah kita serahkan soal teknikal tersebut kepada ahli feqah yang mahir tentangnya. Lebih penting dari itu adalah "will" kita untuk menerima dan terus menerima "cara hidup Islam", yang termasuk salah satu daripadanya adalah cara hidup perundangan Islam atau Hudud.

Kepada Y. Bhg. Tun yang saya hormati, sebenarnya Hudud hanyalah salah satu dari cara hidup Islam tadi. Hudud hanyalah 0.01% dari cara hidup Islam yang diperjuangkan oleh Gerakan islam di seluruh dunia, termasuk PAS. Di dalam Islam, terdapat banyak lagi cara hidup-cara hidup lain yang wajib kita mengikutinya dengan patuh, termasuklah cara berpendidikan (sistem pendidikan), cara hidup berekonomi (sistem ekonomi Islam), cara hidup berhibur (sistem hiburan Islam) dan seterusnya.

Lanjutan daripada itu, ianya bukan sangat tentang "bagaimana teknikalnya" tapi ia lebih merupakan "saya patuh, walau bagaimanapun teknikalnya".

Selepas itu, timbul satu polemik yang sangat sukar untuk dirungkaikan, iaitu tentang "saya sudahpun Islam, cara hidup saya sudahpun Islam". Y. Bhg. Tun menyatakan bahawa beliau bersolat (sistem ibadah Islam), beliau menghantar anak cucunya ke KAFA (sistem pendidikan Islam), beliau mendengar lagu-lagu Maher Zaen (sistem hiburan Islam), beliau menolak riba dan mempromosi sistem perbankan islam (sistem ekonomi islam)...nah! Tak islam lagikah cara hidup saya? Tanya Y. Bhg. Tun.

Saudara-saudara semua,
Sesungguhnya cara hidup Islam itu ianya merupakan satu sistem yang lengkap dan berintegarsi antara satu sama lain. Sistem Perundangan islam tanpa Sistem hiburan Islam, maka hancurlah sistem tersebut. Sistem Hiburan Islam tanpa Sistem Pendidikan islam, maka hancurlah sistem tersebut. Sistem pendidikan Islam tanpa Sistem ekonomi Islam, maka hancurlah sistem tersebut. Ianya berkait rapat antara sau sistem hidup dengan satu sistem hidup yang lain. maka, keseluruhan sistem hidup Islam tadi hendaklah dilaksanakan secara syumul, menyeluruh tanpa boleh dipilih-pilih atau mempunyai alternatif lain atau sistem hidup islam merupama alternatif sistem sedia ada. Tak boleh begitu! Islam hanya akan memancarkan keberkesanan hidup untuk umat manusia jika kita menerimanya secara kaffah, atau menyeluruh tanpa perlu memilih idelogi lain. Sistem hidup Islam yang menyeluruh inilah yang dinamakan Negara Islam/Negara Berkebajikan. dan negara jenis inilah yang diperjuangkan oleh Gerakan Islam di seluruh dunia, termasuk PAS.