Friday, January 25, 2013

Program Transformasi

Teman-teman yang senantiasa saya ingati,

Kebelakangan ini, kita selalu mendengat tentang Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP). GTP penting kerana ia menyentuh asas-asas ekonomi negara. ETP pula penting untuk melonjak sektor ekonomi ke rantaian nilai yang lebih tinggi. Ini semuanya telah kita dengar berkali-kali di dalam banyak forum dan platform lain.

Selain dari dua transformasi ini, Malaysia sebenarnya memerlukan satu lagi transformasi yang tidak kurang pentingnya (atau lebih penting!). Transformasi yang saya maksudkan adalah transformasi sosial. Apa itu transformasi sosial?

Transformasi sosial adalah transformasi masyarakat sivil menuju sebuah masyarakat yang mempunyai kesedaran sivik yang tinggi, terbuka pemikiran, berdaya intelek, dan mempunyai jiwa yang besar. Transformasi sosial amat penting kerana ETP dan GTP hanyalah penyediaan prasarana, sedangkan Transformasi Sosial adalah berkaitan dengan proses kemahiran pelaku. Saya bagi contoh begini - ETP dan GTP adalah proses penyediaan kereta yang berprestasi tinggi, tapi transformasi sosial pula adalah berkenaan dengan penyediaan pemandu yang mahir dan cekap. Tanpa pemandu yang cekap, walau sehebatmanapun kereta tersebut, pasti kita akan ketinggalan jua.

Situasi sekarang di negara kita, proses transformasi ini masih kurang, walaupun ada usaha terpuji pihak kerajaan. Ya, AUKU telah dipinda, ISA telah dipinda, dan ruang kebebasan akhbar telah sedikit sebanyak terbuka. Namun, ianya masih belum mencukupi. Minda masyarakat masih lagi terjajah dengan berita atau fakta yang diseleweng dengan sengaja untuk membentuk persepsi awam, tanpa memberi peluang masyarakat untuk berfikir. Dan jika ada segolongan yang berfikir, mereka akan ditakluk oleh beberapa akta yang mencengkam yang menghalang perdebatan terbuka untuk meneroka ilmu. Ini perlu diubah.

Transformasi Sosial amat penting dalam penyediaan masyarakat menuju kepada status negara maju. Transformasi sosial ini akan memberi pentas yang terbuka yang berasaskan meritokrasi. Dasar-dasar yang liberal dan terbuka akan menggalakkan inovasi dan kreativiti dan memberi keuntungan kepada ekonomi negara.

No comments:

Post a Comment