Y. Bhg. Tun,
Saya membaca artikel tulisan Y. Bhg. Tun dengan penuh minat kerana tajuk
berkenaan adalah amat penting bagi Islam. Kenapa? Kerana umat secara amnya
telah faqih dan teramat arif mengenai Islam “sebagai satu ritual berugama” (soal
hukum hakam dan feqah harian) tapi masih lagi jahil dalam mengenal Islam
sebagai asas bernegara. Saya membacanya dengan panuh minat juga kerana ia boleh
mengukur sejauh mana kefahaman Y. Bhg. Tun terhadap konsep Islam sebagai asas
bernegara.
Jauh sekali untuk mencari kesalahan atau mendabik dada “saya lebih islam
dari kamu”, saya menulis hanya kerana mahu berkongsi ilmu dan mengharapkan yang
terbaik untuk negara tercinta ini.
Y. Bhg. Tun. Sebenarnya, Negara Islam bukanlah negara yang melaksanakan
Hudud. Ramai orang salah sangka. Negara Islam hanyalah satu nama atau satu
jenama. Nama/jenama ini bukanlah dicipta oleh Tuhan atau Nabi. Ianya dicipta
oleh Gerakan Islam sejak lama dulu. Nama/jenama ini dicipta untuk memudahkan
umat memahami antara negara yang diasaskan atas nama ugama (perlu dibezakan
pula antara konsep negara teokrasi) dan negara yang diasaskan diatas dasar
selain dari ugama (baik nasionalisme, sekularisme, komunisme, atau lain-lain
idelogy).
Baik, untuk memahami apa itu Negara Islam, kita harus memahami definisi
Islam. Apa itu Islam? Kita kerap mendengar tok-tok guru berkata bahawa Islam
adalah merupakan satu cara hidup lengkap yang mencakupi segenap segi kehidupan
manusia. Apa maknanya tu? Maknanya, Islam mempunyai modelnya tersendiri
bagaimana keseluruhan sistem hidup manusia harus dijalani dan ditadbir. Contohnya,
dalam sistem ekonomi, Islam mempunyai model ekonominya sendiri yang dinamakan
muamalat Islam (pesaing bagi Islam dalam sistem ekonomi adalah kapitalisme dan
untuk jangkauan yang lebih kecil, komunisme). Dalam sistem perundangan pula
contohnya, Islam juga mempunyai model sistem perundangannya sendiri, yang
dinamakan sistem perundangan Islam (dinama Hudud merupakan salah satu
komponennya). Begitu juga dalam sistem pendidikan, sistem hiburan, sistem,
sistem, sistem, sistem yang melingkari seluruh hidup kita seharian.
Jadi, Negara Islam adalah satu nama dan jenama yang digunakan oleh
Gerakan Islam untuk merujuk kepada sebuah negara yang melaksanakan KESELURUHAN
sistem-sistem hidup acuan Islam tadi (yang mana Hudud merupakan salah satu
komponen kecil daripadanya). Mungkin ada yang bertanya, mengapa bentuk Negara
Islam perlu setegar/sekeras (rigid) itu? Tidakkah Islam itu bukan “memaksa”
sifatnya? Dan mungkin ada pula suara nakal yang berkata “jika sekeras itulah
Islam mahu mengawalselia tingkahlaku manusia (hingga ke seluruh segenap segi
sistem hidup manusia), maka apa perlunya Tuhan ciptakan akal untuk manusia berikhtiar
dan berfikir untuk kesejahteraan/keselesaan hidup?”. Islam syumul (menyeluruh)
sifatnya kerana keberkesanannya hanya akan terserlah jika ia dilaksanakan
secara syumul. Dan Islam hanya menggariskan struktur besar bagi manusia,
bukanlah mahu di “micro manage”
tingkahlaku manusia.
Negara yang laksanakan Hudud tapi tak laksanakan Sistem Ekonomi Islam
(muamalat Islam), bukanlah Negara Islam. Negara yang laksanakan Sistem
Pendidikan Islam tapi tak laksana Hudud, bukanlah Negara Islam. Begitu juga
negara yang laksanakan Hudud tapi tidak laksanakan Sistem Hiburan Islam,
bukanlah sebuah Negara Islam.
Setelah kita faham apa definisinya, peringkat seterusnya adalah memahami
aturannya. Sistem Perundangan Islam (di mana Hudud merupakan salah satu
komponennya) adalah benteng terakhir umat. Maknanya, dari segi aturannya, perundangan
adalah sistem hidup Islam yang terakhir sekali dalam senarai perlaksanaan dalam
menuju ke arah status Negara Islam. Yang paling penting adalah Sistem
Pendidikan Islam dan Sistem Ekonomi Islam. (Mungkin boleh kita bicarakan definisi
setiap sistem-sistem ini di lain kali).
Itu pertama. Yang keduanya adalah syarat bagaimana sesuatu sistem itu
boleh dikategorikan sebagai “mewakili Islam”. Saya terbaca satu artikel
baru-baru ini mengenai Ireland yang telah didapati sebagai sebuah negara yang
mempunyai ciri yang paling islamik di dunia. Perlaksanaan sesuatu sistem itu,
hanya boleh dikategorikan sebagai “mewakili Islam” jika ia menepati 4 syarat,
iaitu SYUMUL (paling tidakpun sekurang-kurangnya mempunyai cita-cita untuk
mencapai kesyumulan), PERDANA (bukan hadir hanya sebagai sistem alternatif),
ROH (perlaksanaannya didorong oleh desakan ugama, bukannya ekonomi etc.), dan
FIZIKAL (perlaksanaannya haruslah syariah-compliance).
No comments:
Post a Comment