Monday, March 21, 2011

Kegagalan Sistem Hidup Bersandarkan Kepada Fahaman Nasionalisme Kebangsaan

Pembaca-pembaca blog saya yang saya kasihi semua,

Negara kita Malaysia adalah sebuah negara yang dibina di atas dasar negara multi-bangsa yakni pelbagai bangsa (dan agama) berjuang untuk memartabatkan satu negara, iaitu Malaysia. Itulah prinsip bernegara di negara kita ini. Lalu diciptakan Rukun Negara untuk menangkap kesemua bangsa-bangsa dan agama-agama yang pelbagai ini agar duduk bersatu membina negara.

Maka, fahaman nasionalisme kebangsaan telah menciptakan sistem hidup mereka sendiri untuk menyesuaikan dengan keadaan negara yang pelbagai bangsa, agama, dan adat itu. Dalam sistem beribadah, alhamdulillah, fahaman nasionalisme kebangsaan telah menceduk sistem hidup Islam 100%. Ianya bolehlah dianggap sempurna (dengan pembinaan masjidnya, Tabung Hajinya, Pusat Pungutan Zakatnya, dll). Dalam sistem pendidikan, fahaman nasionalisme kebangsaan membuat keputusan untuk mencampur adukkan antara sistem acuan islam dan sistem acuan barat. Dalam sistem hiburan pula, amat ketara, sistem acuan barat diambil secara 100%. Begitu juga dalam sistem sosial, kita meniru sistem barat dengan mencampur adukkannya sedikit dengan adat resam budaya timur agar kelihatan ”agak manis”. Begitulah sistem hidup acuan fahaman nasionalisme kebangsaan ini. Saya faham, mungkin pemikir-pemikirnya dahulu berpendidikan barat dan tidak mempunyai kesedaran beragama yang tinggi. Mereka ini memerah otak untuk menciptakan dasar dan polisi bernegara (beserta dengan sistem-sistem hidupnya) untuk disesuaikan dengan keadaan Negara Malaysia yang pelbagai kaum dan agamanya. Ia tentunya sukar buat mereka. Saya yakin, mereka ini ikhlas untuk melihat Malaysia aman, sentosa, bahagia dan maju. Namun, disebabkan kejahilan, mereka tidak nampak bahawa Islam juga mempunyai solusinya sendiri dalam permasalahan hidup manusia. Moga Tuhan mengampunkan dosa mereka semua.

Kegagalan sistem hidup anjuran Nasionalisme Kebangsaan
Setelah sekian lama, kecacatan sistem-sistem hidup anjuran fahaman nasionalisme kebangsaan ini mula kelihatan, sedikit demi sedikit. Dalam sistem sosial, kejadian fitnah memfitnah berlaku pada peringkat yang paling atas dan amat menjijikkan. Isu tuduhan memalukan seks luar tabie kepada Saudara Anwar Ibrahim dan isu video seks yang panas sekarang adalah bukti yang paling nyata kegagalan sistem sosial anjuran fahaman nasionalisme kebangsaan. Fitnah dan tuduhan memalukan disiar di dalam media setiap hari, muka depan, bahagian utama. Di samping itu, keruntuhan institusi kekeluargaan yang menjadi-jadi di Malaysia juga adalah bukti yang nyata sistem sosial anjuran fahaman nasionalisme kebangsaan telah gagal. Masyarakat melayu muslim bercerai dengan begitu hebat (statistiknya saya lupa), hampir setiap jam. Budaya tidak bertegur sapa di kawasan kejiranan, perbuatan sumbang dengan jiran, rakan sepejabat, dan teman sosial adalah bukti sistem sosial anjuran fahaman nasionalisme kebangsaan ini telah gagal, gagal segagal-gagalnya!

Suatu ketika dulu, kita digemparkan dengan pengedaran video aksi seks di surau oleh anak-anak sekolah menengah kita di Sarawak. Sebelum itu, kejadian anak sekolah mengandung dan bersalin di sekolah juga kerap kali kita dengar seperti di Kedah. Kita juga telah mendengar budaya samseng di sekolah. Pergaduhan dengan pedang dan golok di sebuah sekolah di Terengganu, pembunuhan, budaya mengugut guru dan bermacam-macam lagi. Ini menunjukkan sistem pendidikan anjuran fahaman nasionalisme kebangsaan telah gagal! Mungkin sistem pendidikan ini berjaya melahirkan manusia yang pintar (saya berkata mungkin), tapi ternyata ia telah gagal melahirkan manusia yang bertaqwa. Sistem pendidikan kita telah gagal.

Saudara-saudara semua,
Islam adalah satu pakej sistem hidup yang diturunkan kepada manusia. Ianya merupakan satu sistem yang saling berantai antara satu sistem hidup dengan sistem hidup yang lain. Perbuatan mengambil satu sistem hidup dan meninggalkan satu sistem hidup yang lain akan menjahanamkan keseluruhan pakej tadi. Pakej ini tidak boleh diambil sekerat-sekerat, ia akan gagal. Mengambil hanya sistem ibadah, tapi meninggalkan sistem sosial acuan Islam akan menjahanamkan keseluruhan sistem hidup tadi. Ibarat ubat yang diberi oleh doktor jika kita sakit. Doktor telah memberikan beberapa jenis ubat yang hanya akan berkesan jika diambil secara pakej, sesuai dengan sakit yang kita alami itu. Namun, jika balik di rumah, kita hanya mengambil ubat demam sahaja, dan membuang ubat antibiotik yang diberi oleh doktor tadi, sakit kita tidak akan hilang. Ia hendaklah diambil secara pakej kerana pakej tadi telah LENGKAP. Tidak boleh kurang atau lebih.

Kegagalan sistem hidup acuan fahaman nasionalisme kebangsaan ini juga adalah sama dengan kegagalan sistem hidup acuan barat. Barat, dengan buta agama mereka telah meraba-raba mencari kesejahteraan hidup. Lalu mereka mencipta pelbagai ideologi yang diharapkan memberikan mereka kebahagiaan. Masyarakat barat sangat terpengaruh dengan faham teori evolusi oleh Darwin. Mereka merasakan segala yang berubah akan sentiasa membawa kepada kebaikan. Ideologi inilah yang sebenarnya mencetus kepada Renaissance yang masyhur itu. Ideologi inilah juga yang membentuk pemikiran barat terhadap teori-teori asas demokrasi dan hak asasi manusia. Namun, Barat telah tersilap. Kebahagiaan tidak akan dicapai dengan kebebasan untuk memilih. Realiti keadaan di Barat kini membuktikan teori ini telah gagal. Kebahagiaan abadi hanya akan tercapai melalui jalan agama.

Saudara-saudara semua,
Yang menjadi kehairanan bagi saya adalah mengapa dan kenapa masih ada lagi manusia yang ingin mempertahankan sistem hidup acuan fahaman nasionalisme kebangsaan ini walaupun ia telah terbukti gagal. Ia gagal dan buktinya ada di depan mata. Dalam sebuah kitab karangan AL-Qardawi yang berjudul ”Halal & Haram Di Dalam Islam”, penulis mengatakan yang halal itu banyak dan yang haram itu sangat sedikit. Namun, menjadi lumrah manusia berkehendakkan yang sedikit itu. Dalam banyak-banyak sistem yang halal, sistem yang dilarang itulah juga yang dimahunya. Pelik sungguh manusia ini. Jikapun kita telah berjaya meyakinkan mereka, mereka masih juga mahu dikekalkan sistem hidup acuan fahaman nasionalisme kebangsaan sebagai pilihan untuk memilih. MasyaAllah....mereka tetap mahukan sistem acuan fahaman nasionalisme kebangsaan ada. Seolah-olah mereka berkata ”Tak mengapalah, saya mahu ia dikekalkan juga sebagai alternatif pilihan. Sesiapa yang mahukan sistem Islam boleh pilih sistem Islam, dan sesiapa yang mahukan sistem acuan fahaman nasionalisme kebangsaan, bolehlah memilih”. Sampai begitu sekali kecintaan mereka terhadap sistem hidup acuan fahaman nasionalisme kebangsaan. Umpama cinta pandang pertama, mereka masih tidak dapat melupakan sistem tersebut.

Orang yang cerdik akan sentiasa memilih sistem hidup yang ternyata berjaya. Hanya orang bodoh sahaja yang memilih (atau mahukan pilihan) sistem yang terbukti gagal!

No comments:

Post a Comment