Wednesday, March 9, 2011

Saya Pun Melayu.......

Saudara-saudara sekalian,
Baru-baru ini kelihatan timbul kembali isu Melayu yang cuba dipergagahkan kembali oleh Gerakan Nasionalis Kebangsaan, UMNO. Isu perjuangan Melayu ini cuba digendangkan oleh UMNO dan diambil hadis-hadis sebagai sandaran untuk melihatkan perjuangan berteraskan bangsa seperti Melayu ini adalah perjuangan suci dan murni. Baiklah, itu situasinya.

Hal ini diperhebatkan lagi oleh Y. Bhg. Tun Mahathir yang menyerang Ustaz Nik Aziz dengan mengatakan Ustaz Nik Aziz tidak bersyukur dilahirkan sebagai Melayu. Bangsa Melayu, kata Y. Bhg. Tun, adalah bangsa yang paling bertuah kerana mempunyai sebuah organisasi khas yang memperjuangkan untung nasibnya seperti UMNO. Tiada bangsa lain di atas dunia ini yang lebih bertuah dari bangsa Melayu.

Saudara-saudara sekalian,
Saya juga Melayu. PAS juga Melayu. Saya faham rasa "kecintaan" UMNO terhadap bangsanya, tapi saya pun Melayu juga. Janganlah berlebih-lebihan. Seperti Ustaz Nik Aziz, saya tidak diminta pun dilahirkan sebagai Melayu. Malah, bangsa Quraisy lebih mulia dari bangsa Melayu. Kerana apa? Adakah kerana rupa paras? Tidak. Adakah kerana harta benda? Tidak. Adakah kerana pengaruh? Pun tidak. Bangsa Quraisy lebih mulia dari bangsa Melayu hanya kerana Islam. Saudara-saudara sekalian, UMNO melaungkan dirinya sendiri sebagai pejuang asli bangsa Melayu. Baginya, ia sudah melakukan perkara yang paling mulia dan harus diucapkan terima kasih. UMNO menganggap dirinya sebagai hero. UMNO terpinga-pinga kehairanan apabila mendapati ada pihak yang mengatakan kita tidak seharusnya berterima kasih kepada UMNO. Saya pun Melayu. UMNO menentang saya? Saya pun Melayu juga wahai UMNO. Jadi, jika saya Melayu juga, di atas dasar apa kamu mahu menentang saya? Kamu mengumumkan bahawa kamu pejuang bangsa Melayu. Habis tu kenapa kamu menentang saya? Kenapa kamu menentang Kelantan? Saya pun Melayu wahai tuan. Kelantan pun Melayu juga.

Saudara-saudara sekalian,
Y. Bhg. Tun Mahathir mengumumkan bahawa beliau menyintai bangsa Melayu. Justeru, beliau diangkat sebagai wira Melayu. Jika di atas dasar bangsa, bagaimana agaknya reaksi kalian apabila saya memberitahu bahawa Y. Bhg. Tun sebenarnya datuknya seorang berbangsa India? Bagaimana pula tu? Adakah beliau harus terus diangkat sebagai wira Melayu? Saya pun Melayu, Y. Bhg. Tun. Jika saya berhijrah ke U.K conothnya, adakah UMNO akan terus memperjuangkan nasib saya? Saya pun Melayu juga. Jika adik saya berkahwin dengan seorang gadis berbangsa Tionghua yang memeluk Islam, adakah gadis tadi akan turut diperjuangkan UMNO? Bagaimana pula tu? Dan jika saya seorang berbangsa Tionghua yang memeluk Islam, adakah UMNO tidak akan mempedulikan nasib saya? Kan tadi kata UMNO hanya memperjuangkan bangsa? Saya juga Melayu wahai UMNO....

Saudara-saudara sekalian,
Cuba tengok, soalan-soalan yang saya kemukakan akan membawa seribu satu persoalan kepada kita. Sampai bila perjuangan bangsa ini? Mahu ke mana perjuangan bangsa ini? Bersifat berkekalankah perjuangan bangsa ini? Apabila kita mati, kesemua jasad muslim (tak kira Melayu, India, Cina, Siam, Batak) kelihatan sama sahaja. Upacara pengkebumian juga sama. Jadi di manakah pentingnya bangsa jika semuanya sama? Bangsa hanya rupa. Bangsa hanya perbezaan luaran yang diberikan Tuhan untuk menguji kita semua. Itu sahaja.

Wahai UMNO, saya pun Melayu....

No comments:

Post a Comment