Monday, February 22, 2010

Tuan Guru Ustaz Dato' Seri Abdul Hadi Awang

Mula-mula saya berasa begitu berbelah bahagi untuk menulis berkenaan dengan perkara ini. Rasa begitu payah. Namun, mungkin kerana saya hanyalah pendokong gerakan Islam tanpa apa-apa jawatan dalam parti, mungkin itu menyebabkan saya tidaklah rasa terikat atau malu alah pada sesiapa. Walau apapun, saya ngin terlebih dahulu memohon maaf jika tulisan saya ini menyakitkan hati sesiapa. Saya minta dijauhi dari sikap tidak bertanggungjawab dalam menulis.

Saya begitu tidak selesa dengan kebanyakan pendirian Ustaz Hadi, Presiden gerakan Islam di Malaysia. Tidak selesa bukannya kerana beliau kurang alim, atau kerana beliau kurang wara's, atau kerana beliau kurang zuhud, atau kerana beliau kurang taqwa. Bahkan beliaulah orang yang paling taqwa di antara kami, dan beliaulah orang yang paling rapat dengan Tuhan di antara kami. Tidak selesa kerana banyak ucapan dan pendirian beliau seperti menyokong kepimpinan parti gerakan nasionalis kebangsaan. Ya, saya faham, jika sesuatu perkara itu benar, maka kita perlu katakan ianya benar dan begitulah sebaliknya. Namun, jika di dalam semua perkara, malah di dalam perkara yang bukan wajib atau haram pun, kenyataan ustaz seakan-akan selaru dengan pendirian gerakan nasionalis, bagaimanakah saya mahu mententeramkan hati saya?
Kecenderungan ustaz kepada Kerajaan perpaduan, kutukan ustaz terhadap 50 ahli parlimen negara Australia dalam kes Anwar. Aduhai, kenapa ni ustaz?

Adakah ustaz beranggapan bahawa negara kita sudahpun betul layak digelar negara Islam dan kita telah tersalah perjuangan selama ini? Adakah ustaz memikirkan penubuhan sesebuah negara Islam perlu dimulakan dengan pendidikan terhadap warga dan penerapan nilai-nilai Islam dan ustaz bersetuju dengan pendekatang yang dibawa oleh UMNO selama ini, justeru kita perlu beriringan dengan UMNO? Atau adakah ustaz baru menyedari bahawa untuk menukar perlembagaan negara adalah sesuatu yang mustahil justeru pendekatan yang dibuat oleh UMNO adalah pendekatan terbaik untuk menubuhkan sesebuah negara Islam? Atau ustaz mengetahui rahsia-rahsia tertentu yang membuktikan memang Anwar melakukannya dan beliaulah yang selama ini berbohong? Atau ustaz merasakan berbaik-baik dengan UMNO adalah lebih kurang keburukannya dari berbaik-baik dengan PKR (di mana ramai pengikutnya adalah beragama Kristian) dan DAP? Atau apa? Cuba ustaz ceritakan kepada saya dan kami semua. Apa sahaja alasan munasabah ustaz, InsyaAllah kami semua akan tetap patuh dan menyokong ustaz. Bukan kita bergantung pada Anwar, tapi kita bergantung pada Tuhan kita. Jika Ustaz mempunyai bukti-bukti tertentu namun tersepit untuk menyatakannya, usahlah bimbang, kami semua akan memberi sokongan yang padu kepada ustaz. Yang paling penting, ustaz kena ceritakan kenapa gaya dan pendekatan ustaz selalu sahaja sama senada dengan kepimpinan parti nasionalis kebangsaan. Apakah dasar nasionalisme kebangsaan itu dibenarkan dalam agama kita? Apakah ustaz redha dengan dasar nasionalisme??

Saya menghormati ustaz Hadi sebagai seorang ulama' dan Tok Guru. Dulu, saya dengar beliaulah antara orang yang paling keras membenci dasar nasionalisme kebangsaan ini. Tetapi kenapa sekarang beliau dilihat begitu berlembut dengan pendokong-pendokong dasar ini? Saya teringat kata-kata Sayyidina Abu Bakar kepada Sayyidina Umar semasa Sayyidina Abu Bakar mengarahkan supaya kesemua mereka yang enggan membayar zakat selepas kewafatan Nabi dibunuh, namun ditegah oleh Sayyidina Umar. Seraya Sayyidin Abu Bakar menempelak, "Wahai Umar. apakah kamu hanya keras semasa Rasulullah masih hidup, tetapi menjadi lembut sesudah kewafatan baginda???

No comments:

Post a Comment